March
2025

JOHOR BAHRU, 13 Mac 2025 - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) meneruskan amalan murni meraikan hampir 100 anak yatim dan asnaf menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares sempena Majlis Sinar Ramadan UDA 2025 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Sebanyak RM30,000 sumbangan zakat wakalah disalurkan kepada anak-anak daripada Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang dibawa membeli-belah pakaian baharu bernilai RM300 sempena sambutan Aidilfitri ini.

Encik Zahrin Zakaria, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Inisiatif ini memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi tunggak Enriching Life khususnya kepada komuniti yang memerlukan sokongan”.

Menurutnya, “Ini kerana, menerusi program ‘UDA Cares-Enriching Life’, UDA menjalankan kewajipan mengagihkan zakat wakalah kepada golongan yang layak di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA”.

“Sumbangan ini merupakan bukti keprihatinan UDA terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti khususnya Bumiputera selain diharap mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang gembira.

“Bantuan ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) dalam menyemarakkan kesejahteraan sosial masyarakat selari dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Pada masa sama, Encik Zahrin berkata, “Langkah ini juga merupakan tanda sokongan UDA kepada penyewa yang menjalankan perniagaan di Angsana Johor Bahru Mall seterusnya menyumbang kepada pengukuhan pemerkasaan usahawan tempatan di pusat beli-belah tersebut”.

Majlis Sinar Ramadan UDA 2025 di Angsana Johor Bahru Mall dianjurkan setiap tahun sejak tiga tahun lalu bagi menceriakan anak-anak merasai kemeriahan membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri selain menikmati juadah berbuka puasa. Mereka juga dihadiahkan kuih raya sebagai tanda ingatan.

Majlis dihadiri Encik Imran Salleh, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall dan Encik Muhammad Ismail Dasuki, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd. Hadir sama, barisan pengurusan dan kakitangan UDA yang meraikan dan membantu anak-anak tersebut membeli-belah.

 

Download
  • Messenger