SIARAN MEDIA
SEMINAR WAKAF IRSOD 2026 CATAT SUMBANGAN WAKAF RM3.1 JUTA, PERKUKUH PEMBANGUNNA EKONOMI UMMAH
Seminar anjuran UDA dengan kerjasama Wakaf Pahang dirasmikan
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghimpunkan 120 peserta
PEKAN, 2 November 2026 – Seminar Wakaf Irsod 2026 mencatatkan serahan sumbangan wakaf berjumlah RM3.1 juta daripada empat penyumbang sempena majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di AnCasa Royale Pekan, Pahang, hari ini.
Serahan tersebut melibatkan dua sumbangan wakaf irsod dan dua sumbangan Tabung Wakaf Masjid, mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menggembleng sumber wakaf bagi menyokong pembangunan sosial, pendidikan, kesihatan dan ekonomi ummah secara berterusan.
Bertemakan ‘Masa Depan Pembangunan Hartanah Wakaf: Daripada Aset kepada Impak’, seminar yang berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 November 2026 itu merupakan anjuran bersama UDA Holdings Berhad (UDA) dan Wakaf Pahang.
Seminar Wakaf Irsod kali kedua di Malaysia, yang julung kali diadakan di negeri Pahang ini, menghimpunkan 120 peserta yang terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), agensi kerajaan, institusi kewangan, penggiat industri hartanah, ahli akademik dan institusi wakaf dari seluruh negara. Seminar ini memfokuskan wakaf irsod, iaitu wakaf daripada raja, kerajaan atau pemerintah, lazimnya melalui penyerahan tanah oleh pihak berkuasa bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah atau peruntukan kewangan kerajaan untuk membangunkan tanah wakaf milik MAIN.
Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, UDA komited memperkasa pembangunan hartanah wakaf melalui kerjasama strategik bersama institusi agama negeri dan pihak berkepentingan berkaitan.
“Pengalaman UDA dalam pembangunan hartanah wakaf merangkumi empat projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM313 juta di Pulau Pinang dan Kedah. Pembangunan ini turut memberikan pulangan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK) dalam bentuk hartanah serta kewangan bagi menyokong kebajikan dan kegiatan ekonomi masyarakat.”
“Di Pulau Pinang, pulangan kepada MAINPP melalui Wakaf Seetee Aisah 1 merangkumi 27 unit kedai pejabat tiga tingkat, manakala Wakaf Seetee Aisah 2 melibatkan dewan bankuet, rumah asnaf, 12 unit pangsapuri, kedai pejabat, surau serta menara pejabat tujuh tingkat. Pembangunan Wakaf Mohamed Hashim pula memberikan pulangan berupa sembilan unit kediaman dan 16 unit kedai pejabat.”
“Di Kedah, pembangunan Taman Sultan Sallehuddin di tanah Wakaf Teluk Chengai memberikan pulangan kepada MAINK berupa enam unit kedai pejabat serta RM12.2 juta. Pulangan ini memperlihatkan bagaimana pembangunan hartanah wakaf dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan sosial yang berterusan kepada ummah.”
“Melalui Strategi Lautan Biru, UDA menggabungkan kepakaran pembangunan dengan peranan MAIN dalam pemilikan dan tadbir urus aset wakaf bagi menjana manfaat ekonomi serta sosial yang mampan kepada ummah. Kerjasama UDA dengan MAINPP dan MAINK memperlihatkan potensi pendekatan ini dalam mengaktifkan nilai aset wakaf secara terancang dan berimpak.”
“Kami berharap pendekatan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerajaan negeri, agensi kerajaan dan institusi berkaitan untuk mempertimbangkan wakaf irsod melalui tanah, aset atau peruntukan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Yang Berusaha Dr. Haji Mohd Azmi Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang berkata, penganjuran seminar tersebut merupakan manifestasi titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar potensi wakaf irsod dimanfaatkan sebagai instrumen strategik pembangunan ekonomi Islam berlandaskan Enakmen Wakaf Pahang 2022.
“Seminar ini bukan sekadar medan wacana ilmiah, bahkan menjadi pemangkin kepada tindakan nyata melalui penggemblengan aset kerajaan, komitmen institusi dan penyertaan sektor korporat bagi menjana manfaat wakaf yang berkekalan,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa Wakaf Pahang kini merekodkan 575 unit hartanah wakaf dengan anggaran nilai RM73.3 juta. Sebanyak 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta turut disempurnakan sejak integrasi pengurusan wakaf bersama PKZ Pahang pada tahun 2022.
Sebanyak 47 projek wakaf bernilai RM86.8 juta pula berada dalam portfolio pembangunan, dengan dana terkumpul RM18.4 juta dan baki keperluan pembiayaan RM68.4 juta.
Penyertaan masyarakat turut memperlihatkan perkembangan memberangsangkan apabila bilangan pewakaf mencapai 11,796 orang, termasuk 4,601 pewakaf baharu sepanjang tahun 2026. Kutipan wakaf semasa pula berjumlah RM5.9 juta, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut beliau, tiga keutamaan strategik yang digariskan ialah pengenalpastian aset kerajaan berpotensi, pembangunan projek wakaf berimpak tinggi serta pemerkasaan kerjasama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan Islam dan sektor korporat.
“Cabaran terbesar pembangunan wakaf bukanlah semata-mata kekurangan sumber, tetapi keupayaan menyatukan dasar, aset, kepakaran dan komitmen kepada tindakan pelaksanaan,” katanya.
Antara fokus utama seminar ialah status dan pentadbiran tanah wakaf, keperluan syariah serta perundangan, model pembangunan dan pembiayaan serta struktur kerjasama dan tadbir urus. Perbincangan sepanjang seminar dijangka menyumbang kepada pembentukan pendekatan pembangunan hartanah wakaf yang lebih tersusun di Malaysia.
Dalam usaha memartabatkan wakaf irsod, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut membantu meningkatkan kefahaman masyarakat berkenaan konsep dan pelaksanaannya melalui penerbitan bahan rujukan bercetak.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram, @uda_official, dan Facebook, UDA Holdings Berhad.
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat beli-belah (UDA PIM), hospitaliti (AnCasa Hotels & Resorts) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Radziah Mohamed Fadzil |
| +6017 337 7630 |
|
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
