SIARAN MEDIA
UDA LANCAR RESIDENSI MUTIARA, TERAP CIRI LESTARI
JOHOR BAHRU, 20 MEI 2026 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempertingkat pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat khususnya di Negeri Johor menerusi pelancaran projek perumahan terbaharu, Residensi Mutiara.
YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Projek Residensi Mutiara yang dijangka siap pada Jun 2029 ini mencerminkan usaha berterusan UDA dalam membangunkan kediaman yang relevan dengan keperluan semasa, di samping memberi peluang kepada lebih ramai individu memiliki kediaman berkualiti pada harga yang kompetitif.”
Mengulas lanjut, beliau berkata, “Residensi Mutiara juga merupakan antara pembangunan yang menerapkan ciri-ciri pembangunan lestari selaras dengan komitmen UDA dalam menyokong amalan Agenda Pembangunan Mampan (SDG). Antaranya termasuk penggunaan lampu jalan solar, sistem solar fotovoltaik (PV) dan tangki tadahan air hujan di rumah kelab serta kelengkapan penjimatan air seperti tandas cekap air dan pili jimat air.”
Residensi Mutiara mengetengahkan konsep eksklusif, fleksibiliti ruang dan gaya hidup komuniti moden menerusi reka bentuk dan susun atur ruang yang praktikal serta lebih luas. Kediaman ini turut dilengkapi elemen taman mesra keluarga serta ruang dalaman yang menyokong interaksi dan kebersamaan, di samping mengetengahkan potensi konsep dwi-kunci (dual key) yang sesuai untuk keluarga besar atau adik-beradik yang ingin tinggal berdekatan sambil mengekalkan akses dan ruang masing-masing. Projek dengan 50 unit ini juga menawarkan persekitaran komuniti berpagar dan berpengawal 24 jam, selain turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan komuniti yang mempunyai ruang kafe, bilik aktiviti serta ruang pelbagai guna.
Projek ini menawarkan dua jenis kediaman iaitu rumah bandar dua tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta rumah bandar tiga tingkat dengan tiga bilik tidur dan empat bilik air. Kediaman berstatus pegangan kekal itu berkeluasan antara 1,259 hingga 3,627 kaki persegi dan ditawarkan pada harga bermula RM548,700. Pada masa yang sama, projek yang turut direka bagi memenuhi keperluan golongan profesional dan keluarga muda ini turut berhampiran dengan beberapa laluan utama sekali gus menjadikannya menjadi pilihan ideal bagi warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura.
UDA turut menyediakan pelbagai tawaran menarik yang dirangka khusus untuk membantu pembeli memiliki kediaman ini dengan lebih mudah, termasuk bayaran pendahuluan serendah RM1,000 atau dua peratus, pengecualian yuran guaman dan duti setem serta skim pembayaran yang fleksibel bagi menampung perbezaan pinjaman bank.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad).
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat beli-belah (UDA PIM), hospitaliti (AnCasa Hotels & Resorts) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Radziah Mohamed Fadzil |
| +6017 337 7630 |
|
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
