SIARAN MEDIA
UDA LANCAR UNIT CONTOH RESIDENSI MUTIARA
Rumah Bandar berstatus pegangan bebas dengan keluasan antara 1,259 hingga 3,627 kaki persegi
YB Tuan Pannir Selvam Paliksina Siwalinggam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyifatkan, “Pembangunan kediaman berkualiti perlu merangkumi aspek kesejahteraan, keselesaan dan keharmonian komuniti. Inisiatif UDA menyediakan persekitaran serta kemudahan yang bersesuaian merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh perpaduan dan membentuk masyarakat yang inklusif.”
“Penganjuran UDA HomeXBites 2026 pula memperlihatkan bagaimana pembangunan hartanah boleh disokong dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Gabungan pameran hartanah, jualan makanan dan pelbagai aktiviti menarik menjadikan program ini bukan sahaja platform untuk memperkenalkan hartanah UDA, malah turut menyediakan pengalaman yang bermakna kepada pengunjung dan keluarga,” kata beliau.
YBrs. Encik Norazim Shukor, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd. berkata, “Penganjuran UDA HomeXBites 2026 dan pelancaran unit contoh Residensi Mutiara mencerminkan komitmen berterusan UDA dalam memperluas peluang pemilikan hartanah serta memperkasa pembangunan komuniti.”
“UDA HomeXBites 2026 bukan sahaja platform promosi hartanah, malah memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui aktiviti yang memupuk interaksi sosial, gaya hidup aktif dan semangat kejiranan, selaras dengan aspirasi UDA membangunkan komuniti yang sejahtera. Pelancaran unit contoh pula memberi peluang kepada bakal pembeli meneroka reka bentuk dan keistimewaan rumah bandar, selain mendapatkan maklumat mengenai pilihan unit, pakej pemilikan serta projek hartanah UDA di Johor.”
“Melalui gabungan pembangunan kediaman, penglibatan usahawan dan aktiviti kemasyarakatan, UDA terus memainkan peranan sebagai pemaju yang bukan sekadar membina rumah, tetapi turut mewujudkan persekitaran kehidupan yang harmoni, dinamik dan berdaya huni,” kata beliau.
Residensi Mutiara yang dibangunkan di lokasi strategik di Bandar UDA Utama, Johor Bahru menawarkan 50 unit kediaman dengan pilihan rumah bandar dua dan tiga tingkat berstatus pegangan bebas dengan keluasan antara 1,259 hingga 3,627 kaki persegi pada harga bermula RM548,700. Projek kediaman yang menawarkan tiga bilik tidur dengan dua atau empat bilik air ini mengetengahkan konsep eksklusif dan gaya hidup komuniti moden menerusi reka bentuk dan susun atur ruang yang praktikal serta kawalan keselamatan 24 jam. Ia turut berhampiran dengan beberapa laluan utama sekali gus menjadikannya menjadi pilihan ideal bagi warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura.
Pelancaran unit contoh itu disempurnakan oleh YB Tuan Pannir Selvam Paliksina Siwalinggam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, sambil disaksikan YBrs. Encik Norazim Shukor, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., YBrs. Puan Hajah Dalela Sakiaman, Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Zon Sutera Utama dan YBrs. Encik Imran Salleh, Ketua Pegawai Operasi, UDA Angsana Johor Bahru Mall.
UDA HomeXBites yang berlangsung bermula 22 Oktober hingga 25 Oktober 2026 di Townpark Bandar UDA Utama dianjurkan anak syarikat UDA, UDA Land (South) Sdn. Bhd. dan Angsana Johor Bahru Mall dengan sokongan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk pameran hartanah UDA, jualan makanan dan minuman serta persembahan artis.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan sumbangan peralatan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Alam Sekitar atau e-STEM seperti mesin pencetak 3D kepada empat buah Sekolah Angkat Madani iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, SK Bandar UDA 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA dan SMK Bandar UDA Utama. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UDA dalam memperkasa pendidikan STEM seterusnya memanfaatkan seramai 6,080 pelajar daripada empat buah sekolah terbabit dalam membentuk generasi yang berdaya cipta dan berkemahiran.
Bersempena penganjuran program ini, UDA turut mengetengahkan Bonanza Memenuhi Impian 2026, yang menawarkan peluang kepada pembeli untuk memiliki hartanah idaman, di samping berpeluang memenangi hadiah utama sebuah unit kediaman di Residensi Dedaun, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor. Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 ini turut menawarkan kereta Proton e.MAS 5 serta hadiah emas HABIB.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my, laman Facebook rasmi UDA atau Instagram @uda_official.
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat beli-belah (UDA PIM), hospitaliti (AnCasa Hotels & Resorts) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Radziah Mohamed Fadzil |
| +6017 337 7630 |
|
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur
Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
