May
2025

TAWAU, 15 Mei 2025 - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) memperkasa lebih 5,000 komuniti luar bandar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares - Project RE_.

Sumbangan ini disalurkan melalui Program Satelit CSR KUSKOP sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

Inisiatif menerusi UDA Cares - Project RE_ itu merangkumi kerja-kerja membaik pulih serta pemasangan empat unit lampu solar di gelanggang futsal, membaik pulih Perpustakaan Desa, pemasangan dua unit lampu solar di pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pemasangan empat unit lampu solar di Jeti Kampung Mentadak Baru di Pulau Sebatik, di sini.

Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menghargai komitmen UDA selain menekankan kepentingan agensi dan sektor korporat lain untuk lebih proaktif menyokong pembangunan infrastruktur dan kualiti masyarakat khususnya di luar bandar.

“Usaha ini amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan negara menerusi aspirasi Malaysia MADANI khususnya dalam aspek kesejahteraan demi kepentingan semua,” katanya.

Sementara itu, Encik Johari Shukri Jamil, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Program yang dilaksanakan menerusi tunggak CSR UDA Cares - Project RE_ merupakan salah satu usaha berterusan syarikat dalam menyantuni dan memperkasa komuniti melalui program kemasyarakatan.

Menurutnya, “Langkah ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda serta penduduk setempat seterusnya mewujudkan persekitaran yang positif. Usaha ini juga selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),” katanya.

Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, Program Satelit CSR KUSKOP turut menampilkan Program Halal Success KUSKOP dan Program Bicara Ilmu & Jom@Coop.

Download
  • Messenger