SIARAN MEDIA
UDA PERUNTUK RM5 JUTA BAGI PEMBINAAN TAMAN AWAM DAN KEMUDAHAN REKREASI DI PULAU PINANG
Laman Tanjong seluas 2.5 ekar berhampiran Eight & Eight Condominium bakal memperkukuh tarikan dan kesejahteraan komuniti di Tanjung Tokong
TANJUNG TOKONG, 17 Oktober 2026 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), memperuntukkan RM5 juta bagi membina taman awam dan kemudahan rekreasi di Pulau Pinang.
YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika berucap merasmikan Eight & Eight Condominium Experience Centre berkata, “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama dan sokongan dalam merealisasikan penukaran status pegangan bebas bagi pembangunan Eight & Eight Condominium. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana seperti UDA mencerminkan semangat Strategi Lautan Biru yang mengutamakan sinergi kepakaran dan sumber merentas agensi bagi menghasilkan penyelesaian yang praktikal, cekap serta berpaksikan rakyat, sekali gus memacu pembangunan bandar berkualiti dan pembentukan komuniti mampan demi kesejahteraan rakyat.”
“Dalam usaha memastikan pembangunan ini turut memberikan manfaat kepada komuniti setempat, UDA akan memperuntukkan RM5 juta untuk membina taman dan kemudahan rekreasi di Pulau Pinang. Sebahagian daripada peruntukan ini akan digunakan untuk membangunkan Laman Tanjong, sebuah taman awam seluas 2.5 ekar yang terletak bersebelahan Eight & Eight Condominium.”
“Laman Tanjong bukan sahaja akan memperkukuh daya tarikan pembangunan ini, malah menyediakan ruang rekreasi yang kondusif untuk dimanfaatkan oleh penduduk Eight & Eight Condominium dan masyarakat setempat. Ini mencerminkan komitmen UDA untuk memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan turut memberi nilai tambah kepada komuniti sekeliling,” kata beliau.
Pembangunan Eight & Eight Condominium kini menawarkan kelebihan pemilikan hartanah berstatus pegangan bebas berbanding status pegangan pajakan sebelum ini. Inisiatif ini merupakan satu perkembangan positif kepada pembeli kerana pegangan bebas memberikan nilai tambah bagi pemilikan kediaman jangka panjang serta berpotensi meningkatkan daya tarikan hartanah pada masa hadapan.
Tambah beliau, “Pada masa yang sama, apabila ada pembangunan atau perumahan baharu, maka akan ada penduduk. Apabila ada penduduk, ini akan mewujudkan keperluan serta peluang ekonomi. Jadi, kita mahu peluang ini turut dimanfaatkan oleh usahawan tempatan supaya pembangunan yang dilaksanakan ini bukan sahaja menyediakan kediaman yang selesa dan harmoni, tetapi juga merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat.”
Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “UDA telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan di Pulau Pinang sejak tahun 1971, khususnya di Tanjung Tokong menerusi pembangunan perumahan, komersial dan kemudahan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan kawasan serta kesejahteraan komuniti setempat”.
“Projek ini digerakkan dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat sebelum ini melalui projek penempatan semula menjadi sebuah komuniti moden, inklusif dan mampan. Malah, projek-projek ini dibangunkan bagi mengangkat kualiti hidup dengan suasana persekitaran yang lebih inklusif menerusi pelbagai kemudahan asas seperti dewan, surau dan tempat letak kereta bertingkat selain terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan pusat beli-belah, sekolah dan sebagainya,” kata beliau.
Antara pembangunan yang dilaksanakan ialah pembangunan unit-unit kediaman di Warisan Tanjung yang dibangunkan secara berfasa dengan keseluruhan 3,836 unit merangkumi rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah, rumah mampu milik dan kategori terbuka di kawasan seluas 43.45 ekar. Daripada jumlah tersebut, 1,200 unit merupakan rumah gantian yang disediakan kepada penduduk asal Tanjung Tokong sebagai sebahagian daripada usaha penempatan semula.
UDA juga membangunkan projek Desiran Tanjung di kawasan seluas 54.07 ekar, yang merangkumi pembangunan kediaman dan komersial seperti projek Vantage Desiran Tanjung yang menempatkan kira-kira 120 unit kedai pejabat di sepanjang Jalan Tanjung Tokong. Legasi pembangunan di Tanjung Tokong kini diteruskan dengan pembangunan Eight & Eight Condominium, sebuah projek yang menggabungkan lokasi yang mudah diakses, reka bentuk kontemporari dan kemudahan yang memenuhi keperluan kehidupan harian.
Eight & Eight Condominium terdiri daripada 600 unit kediaman dalam dua menara dengan setiap aras hanya menempatkan lapan unit melalui susun atur koridor satu sisi atau single-loaded corridor, yang mewujudkan pengalaman kediaman lebih eksklusif serta menggalakkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Pembangunan itu menyasarkan pembeli rumah pertama, golongan profesional dan pelabur yang mencari kediaman berkualiti di Pulau Pinang.
Projek yang dijangka siap pada 2029 ini menawarkan pilihan kediaman tiga bilik tidur dengan dua bilik air berkeluasan antara 885 hingga 1,019 kaki persegi, serta unit tiga bilik tidur dengan tiga bilik air seluas 1,139 kaki persegi, pada harga bermula daripada RM691,628.
Reka bentuk curvilinear façade pada kedua-dua menara memberi identiti tersendiri kepada pembangunan ini. Satu menara menghadap ke Bukit Mutiara, manakala satu lagi menghadap ke Selat Melaka, membolehkan penghuni menikmati pemandangan yang berbeza mengikut pilihan unit.
Kemudahan yang disediakan termasuk surau, ruang pengecasan kenderaan elektrik, dewan serbaguna yang turut berfungsi sebagai gelanggang pickleball dan badminton, kolam renang, ruang barbeku di kawasan tertutup dan terbuka, bilik permainan, ruang kerja bersama, ruang yoga, bilik senamrobik dan gimnasium. Projek ini juga menerapkan ciri pembangunan mampan yang praktikal, termasuk penggunaan cat rendah kandungan volatile organic compound (VOC), sistem penuaian air hujan, kawasan tanaman herba dan landskap hijau. Pendekatan ini menyokong usaha UDA untuk menyediakan pembangunan yang lebih cekap menggunakan sumber, selaras dengan aspirasi untuk memenuhi impian masyarakat memiliki kediaman berkualiti.
Eight & Eight Condominium juga terletak berhampiran Penang Adventist Hospital, Gleneagles Hospital Penang dan Hospital Pulau Pinang. Institusi pendidikan seperti Dalat International School, Stonyhurst International School Penang dan Universiti Sains Malaysia turut berada dalam lingkungan kawasan pembangunan, di samping pusat beli-belah dan rekreasi seperti Island 88, Gurney Plaza, Gurney Paragon serta Taman Botani Pulau Pinang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram, @uda_official, dan Facebook, UDA Holdings Berhad.
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat beli-belah (UDA PIM), hospitaliti (AnCasa Hotels & Resorts) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Radziah Mohamed Fadzil |
| +6017 337 7630 |
|
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
