SIARAN MEDIA
UDA SALUR RM60,000 ZAKAT WAKALAH, RINGANKAN BEBAN 200 PELAJAR
ASNAF MENJELANG PERSEKOLAHAN 2026
JOHOR BAHRU, 7 Januari 2026 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM60,000 bagi membantu 200 pelajar asnaf menerusi program UDA Cares; Educational - Back to School 2026 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
Program berkenaan dilaksanakan sebagai inisiatif tahunan UDA bagi membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan serta memastikan golongan pelajar asnaf dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersedia dan berkeyakinan.
Menerusi program ini, setiap pelajar menerima peruntukan RM300 untuk membeli kelengkapan persekolahan di Angsana Johor Bahru Mall, selain turut menerima sumbangan beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman sebagai sokongan menyeluruh terhadap keperluan pembelajaran mereka.
Kesemua penerima merupakan pelajar terpilih daripada 10 buah sekolah rendah di sekitar wilayah pembangunan UDA, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga; SK Kompleks UDA; SK UDA 2; SK Kampung Pasir; SK Pengkalan Rinting; SK Tasek Utara; SK Taman Cempaka; SK Seri Kenanga; SK Seri Melati serta SK Perumahan Tampoi 2.
YBrs. Encik Azrudyn Rashid, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan UDA dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera di kawasan pembangunan syarikat.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pelajar asnaf, malah diharap dapat menyuntik motivasi serta keyakinan kepada para pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat dan iltizam,” katanya.
Menurut beliau, usaha tersebut turut selari dengan pelaksanaan CSR UDA yang memberi penekanan kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian syarikat.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad).
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Setelah lebih lima dekad, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan dengan menerapkan ciri-ciri ‘Life’ iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my. Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
|
|
Ahmad Fadhlullah Adnan |
| +6019 493 2154 |
|
|
Dzaqiatul Syahira Asmapi |
| +6018 375 2208 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur
Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
“MEMPERKASA GAYA HIDUP LESTARI”
