UDA MEDIA RIDE 2017.

SIARAN MEDIA UDA HOLDINGS BERHAD RAIKAN MEDIA DAN PARA PELAJAR MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN WADDIN DI PEKAN, PAHANG MELALUI PROGRAM UDA RIDE 2017 Pekan, 18 Mac – Rentetan daripada kejayaan penganjuran Kembara Amal Bermotosikal ‘UDA Ride 2016’ pada tahun lepas, UDA Holdings Berhad (UDA) sekali lagi telah mengadakan ‘UDA Ride 2017’ pada 18 dan 19 Mac 2017, disertai oleh lebih 100 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi. Program amal UDA ini adalah berunsurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang melibatkan aktiviti gotong-royong bersama para pelajar daripada Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin, Pekan, Pahang. Aktiviti ini turut melibatkan usaha penambahbaikan bangunan seperti mengecat dan membaiki kerosakan bangunan sekolah Maahad Tahfiz serta pemberian sumbangan komputer. Konvoi kembara amal bermotosikal ini merupakan kali kedua diadakan yang diketuai oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah, Pengerusi UDA serta YBhg. Datuk Ahmad Abu Bakar, Pengarah Urusan Kumpulan UDA. Para penunggang yang terdiri daripada rakan-rakan media dan jemputan khas juga turut mendapat kerjasama dan diiringi oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Program yang berlangsung selama dua hari ini bermula dari Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras dan seterusnya menuju ke Ancasa Royale Pekan, Pahang. Para peserta kemudiannya diraikan dengan majlis makan malam yang meriah lagi gamat dengan sesi karaoke, cabutan bertuah serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori ‘The Most Diva Rider’, ‘The Most Stunning Rider’ dan ‘The Most Sporting Rider’. Keesokan harinya, para pelajar Maahad Tahfiz berpeluang membonceng motosikal berkuasa tinggi dan dibawa bersiar-siar mengelilingi bandar DiRaja Pekan, Pahang. Mereka juga sempat berhibur dengan acara sukaneka ‘Waiters Run,’ pertandingan ‘Master Chef’ dengan kerjasama Ancasa Royale Pekan dan menikmati persembahan ‘War Cry’ oleh kesemua peserta ‘UDA Ride 2017’. Menurut YBhg. Datuk Ahmad Abu Bakar, “UDA mengambil pendekatan dengan mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini bagi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin di antara UDA dan juga para pengamal media yang sentiasa berdiri teguh bersama UDA selama ini, di samping memperkenalkan produk-produk hartanah UDA kepada masyarakat umum”. Program ini juga merupakan wadah terbaik untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan. UDA juga berharap sumbangan penambahbaikan bangunan Maahad Tahfiz serta pemberian komputer dapat membakar semangat para pelajar ini untuk menimba ilmu dan melahirkan modal insan yang berkualiti agar dapat terus menyumbang ke arah produktiviti negara. Selesai majlis makan tengah hari, kesemua peserta meneruskan konvoi pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3 petang.17311289_1498527833538044_5023818765776711745_o 17358767_1498527410204753_412017212799115272_o 17359147_1498525056871655_2129444851792036516_o 17436285_1498525590204935_5799835544448360325_o