October
2024

JOHOR BAHRU, 12 Oktober 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti mengumpulkan seramai 160 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sempena Karnival UDA 2024 @ Johor yang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu diadakan dengan matlamat merangsang aktiviti keusahawanan setempat sekaligus, melahirkan usahawan yang mampan dan berdaya saing. Berlangsung selama tiga hari, dari 11 hingga 13 Oktober, karnival itu juga mencerminkan komitmen UDA terhadap inisiatif kelestarian dengan mempergiat pembabitan usahawan asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

Karnival yang turut menjadi platform menterjemahkan peranan UDA dalam meningkatkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar itu menawarkan sebanyak 16 produk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Sarawak merangkumi hartanah kediaman dan komersial sesuai untuk semua generasi.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Karnival UDA 2024 @ Johor yang menyasarkan kehadiran 180,000 pengunjung ini merupakan lokasi ketiga untuk tahun ini dan antara lokasi tumpuan kerana sambutan dan sokongan warga selatan tanah air, khususnya di wilayah pembangunan UDA, amat memberangsangkan. Sehubungan itu, UDA menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM92.5 juta merangkumi jualan hartanah bernilai RM90 juta serta jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta.

“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Karnival UDA 2024 bagi mendukung perkembangan usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang berupa insentif sewaan gerai jualan. Selain itu, UDA turut menyokong usahawan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan yang merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan dan insentif pengiklanan digital melalui green screen.

“Menariknya lagi, sempena Karnival UDA 2024 @ Johor, UDA turut berkolaborasi dengan agensi tempatan seperti Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Agama Islam Johor bagi mengetengahkan usahawan tempatan seterusnya membantu mempromosikan produk serta meluaskan akses pasaran mereka,” katanya.

Menyentuh sektor perniagaan hartanah, Datuk Sr Mohd. Salem menambah, “Menjelang sambutan Jubli Emas ‘Road to Golden Years - 50 Years & Beyond’ perniagaan UDA di negeri Johor pada tahun hadapan, UDA komited memperkukuh elemen kelestarian menerusi pembangunan hartanah yang berkualiti, bernilai tinggi serta memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Kini, UDA sedang menawarkan rumah teres dua tingkat (Areca Terrace), rumah berkembar dan banglo dua tingkat (UDA Heights), serta kedai pejabat dua dan tiga tingkat (21BizHub) di Bandar UDA Utama, selain rumah teres satu tingkat di Taman Sedili, Kota Tinggi.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang meneroka produk hartanah UDA yang lain antaranya Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar, Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur, Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan, Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya dan Taman Sena Permai di Kangar. Bagi kawasan pembangunan baru seperti di Sarawak, UDA membawakan projek Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching,” kata beliau.

Usaha UDA memantapkan aktiviti keusahawanan dan menggalakkan pemilikan hartanah itu selari dengan fokus penjenamaan UDA iaitu LIFE yang membawa maksud ‘Legacy’, ‘Integrated’, ‘Finesse’ dan ‘Enrich’ atau Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa dalam menyumbang ke arah kelestarian dan meneruskan legasi UDA seterusnya memperkasa ekonomi Madani.

Pengunjung yang berminat membeli produk hartanah UDA boleh mendapatkan nasihat berkenaan insentif, bantuan kewangan serta produk yang bersesuaian. UDA turut memperkenalkan kempen ‘Jimat Super Deals’ bagi memudahkan pembeli memiliki produk hartanah UDA dengan menyediakan insentif pelan pemilikan yang mudah, yuran guaman percuma untuk surat cara perjanjian jual beli dan bayaran pendahuluan rendah. Menerusi kempen tersebut, pembeli juga dapat menikmati pembiayaan pinjaman dari bank dengan kadar faedah serendah 3.8% (tertakluk kepada terma dan syarat). Selain itu, pembelian hartanah sewaktu di karnival turut melayakkan penyertaan cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah utama sebuah kereta Proton S70.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, UDA turut berkesempatan menyantuni komuniti memerlukan dengan menyalurkan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000.00. Selain itu, UDA turut mengagihkan sebanyak RM50,000.00 zakat wakalah melalui Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime Sempena Program UDA Cares yang memanfaatkan seramai 500 pelajar asnaf di negeri Johor.

Karnival UDA 2024 @ Johor menampilkan tujuh zon, termasuk Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma dan Jualan Pelbagai serta menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan pengunjung. Antara acara yang diadakan adalah Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara (MSN), persembahan artis seperti Haziq Rosebi dan HyperAct, program ‘Jom Mewarna Bintang Kecil bersama Didi & Friends’, sukan rakyat kanak-kanak tadika, himpunan ‘Martial Art Si Cilik’, zumba ‘Go Banghra Fitness’, Hijabista Makeup Challenge, pertandingan karaoke, pertunjukan api dan Jualan MADANI oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

UDA turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Angkatan Tentera Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), IKEA, KPJ, PROTON dan MODENAS serta agensi di bawah KUSKOP seperti INSKEN, PERNAS dan Bank Rakyat untuk membuka peluang kepada usahawan PMKS dalam memperluas jaringan perniagaan selain memeriahkan lagi karnival.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger