KUCHING, 27 Oktober 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti mengumpulkan seramai 160 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sempena Karnival UDA 2024 @ Sarawak yang berlangsung di Galeri Jualan @ Tapak Projek Neu Pendington, Jalan Datuk Marican Salleh, di sini, hari ini.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Oktober itu menutup tirai penganjurannya di Sarawak selepas diadakan di tiga lokasi sebelum ini iaitu Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor.
Karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu bertujuan merangsang aktiviti keusahawanan setempat sekaligus, melahirkan usahawan yang mampan dan berdaya saing. Selain itu, ia turut mencerminkan komitmen UDA terhadap inisiatif kelestarian dengan mempergiat pembabitan usahawan asnaf dan orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, karnival tersebut turut menjadi platform menterjemahkan peranan UDA dalam meningkatkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar dengan menawarkan sebanyak 16 produk merangkumi kediaman dan komersial sesuai untuk semua generasi. Produk-produk yang diketengahkan dari serata negara seperti Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Sarawak.
Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “UDA menjangkakan kehadiran 150,000 pengunjung di Karnival UDA 2024 @ Sarawak yang merupakan destinasi penutup untuk tahun ini. UDA juga yakin dengan sokongan menggalakkan daripada komuniti setempat dan menyasarkan nilai jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta.
“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengaspirasikan Karnival UDA 2024 bagi mendukung perkembangan usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang berupa insentif sewaan gerai jualan. Selain itu, UDA turut menyokong usahawan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan yang merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan, insentif pengiklanan digital melalui green screen serta Pertandingan Reruai Ideal di mana penjurian berdasarkan hiasan reruai, kuantiti produk jualan dan strategi menjana pendapatan sepanjang karnival.
“Menariknya lagi, sempena Karnival UDA 2024 @ Sarawak, UDA bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC). Kebanyakan usahawan PMKS tempatan dibawa oleh SEDC dan kerajaan Sarawak seterusnya mencapai objektif utama iaitu menyantuni usahawan tempatan dalam usaha mempromosikan produk serta meluaskan akses pasaran mereka. Untuk makluman, setakat hari ini, seramai 18 usahawan dari Sarawak menjadi pembekal outlet MARI Mart (One Stop Retail Centre) dan KIRANA (Craft Corner) milik UDA. Kedua-dua platform keusahawanan tersebut mampu membuka peluang untuk usahawan di Sarawak untuk berdaya saing serta meluaskan perniagaan,” katanya.
Menyentuh sektor perniagaan hartanah, Datuk Sr Mohd. Salem menambah, “Penglibatan UDA menerusi UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd di Sarawak bermula di Kuching melalui kerjasama dengan SEDC, dalam pembangunan usaha sama Neu Pendington iaitu lokasi majlis hari ini. Keunikan nama Neu Pendington, iaitu ‘Neu’ – pembaharuan dan ‘Pendington’ - diilhamkan dari nama asal kawasan ‘Pending’ serta gabungan nama diinspirasikan dari nama tempat ‘Paddington’ di London, England.
“Projek pembangunan bercampur dengan keluasan keseluruhan 12.6 ekar itu merangkumi 594 unit kediaman, 190 unit komersial, satu blok pusat beli-belah enam tingkat dan satu hotel 12 tingkat dengan 168 bilik. Untuk Fasa 1, UDA menawarkan 347 unit apartmen dengan pelbagai pilihan harga bermula daripada RM418,000 dan 30 unit komersial bermula daripada RM848,000, menjadikannya pilihan menarik untuk pelbagai golongan. Terletak di lokasi strategik, pembangunan tersebut juga bakal dilengkapi dengan Stesen Aliran Transit Automasi (ART) SR12 – Pending (Red Line),” kata beliau.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang meneroka pelbagai produk hartanah UDA yang lain antaranya Areca Terrace, UDA Heights serta 21BizHub di Bandar UDA Utama, Taman Sedili di Kota Tinggi, Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar, Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur, Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan, Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya dan Taman Sena Permai di Kangar.
Usaha UDA memantapkan aktiviti keusahawanan dan menggalakkan pemilikan hartanah itu selari dengan fokus penjenamaan UDA iaitu LIFE yang membawa maksud ‘Legacy’, ‘Integrated’, ‘Finesse’ dan ‘Enrich’ atau Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa dalam menyumbang ke arah kelestarian dan meneruskan legasi UDA seterusnya memperkasa ekonomi Madani.
Pengunjung yang berminat membeli produk hartanah UDA boleh mendapatkan nasihat berkenaan insentif, bantuan kewangan serta produk yang bersesuaian. UDA turut memperkenalkan kempen ‘Jimat Super Deals’ bagi memudahkan pembeli memiliki produk hartanah UDA dengan menyediakan insentif pelan pemilikan yang mudah, yuran guaman dan bayaran pelbagai untuk perjanjian jual beli secara percuma dan bayaran pendahuluan rendah. Selain itu, pembeli juga dapat menikmati pembiayaan pinjaman dari bank dengan kadar faedah serendah 3.8% (tertakluk kepada terma dan syarat). Pembelian hartanah sewaktu di karnival turut melayakkan penyertaan cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah utama sebuah kereta Proton S70.
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, UDA turut berkesempatan menyantuni komuniti memerlukan dengan menyalurkan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000.00. Selain itu, UDA turut mengagihkan sebanyak RM40,000.00 zakat wakalah dengan kolaborasi bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), melalui Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime Sempena Program UDA Cares yang memanfaatkan seramai 400 pelajar asnaf di Sarawak.
Karnival UDA 2024 @ Johor menampilkan tujuh zon, termasuk Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma dan Jualan Pelbagai serta menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan pengunjung. Antara acara yang diadakan adalah Seminar Pemerkasaan Usahawan Wanita Bumiputera oleh KUSKOP, program sukan Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara (MSN), persembahan artis seperti Ella, Bob Yusof dan HyperAct, program ‘Jom Mewarna Bintang Kecil bersama Didi & Friends’, sukan rakyat kanak-kanak tadika, Himpunan Juara Martial Arts, zumba, X Jumping Fitness, pertandingan karaoke dan Jualan MADANI oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
UDA turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik tempatan seperti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Sarawak Craft Council, Pertubuhan Peladang Sarawak, Sarawak Digital Economy Corporation, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MINTRED), Perbadanan Usahawan Nasional, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Sarawak Manufacturer’s Association, Yayasan Kepimpinan Al Bait, Universiti Malaysia Sarawak dan UiTM Samarahan.
Selain itu, Karnival UDA 2024 @ Sarawak turut membawakan agensi dan rakan strategik lain seperti MSN, PTPTN, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) serta agensi di bawah KUSKOP seperti SME Corporation Malaysia dan TEKUN Nasional untuk membuka peluang kepada usahawan PMKS dalam memperluas jaringan perniagaan selain memeriahkan lagi karnival.
Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.
Karnival UDA 2024 @ Sarawak Kumpul Lebih 160 Usahawan PMKS Dan Tampil 16 Produk Hartanah UDA
27
October
2024