August
2025

PENAMPANG, 16 Ogos 2025 - UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh komitmennya terhadap pemerkasaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penganjuran Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang berlangsung di Buhavan Square, di sini, hari ini.

Matlamat utama karnival ini adalah untuk mempromosikan pembangunan hartanah yang telah dibangunkan oleh UDA serta memperkasa usahawan PMKS khususnya Bumiputera dengan menyediakan platform untuk mereka memasarkan produk, membina jaringan niaga dan memperkenalkan jenama mereka kepada masyarakat.

Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) itu mengetengahkan kira-kira 70 usahawan tempatan dari pelbagai sektor perniagaan bertujuan memperkenal dan memasarkan produk mereka. Inisiatif ini turut menyasarkan jumlah jualan keseluruhan mencecah sehingga RM4.25 juta merangkumi sasaran jualan BizFrancais Pernas berjumlah RM4 juta dan usahawan UDA RM250,000 bagi sepanjang tempoh tiga hari penganjuran sekali gus menggalakkan perkembangan ekonomi setempat serta menyokong pembangunan berterusan keusahawanan tempatan.

Program BizFrancais yang dianjurkan oleh Pernas sejak 2019, bertujuan mempromosikan industri francais dan memperkenalkan peranan, produk serta perkhidmatan Pernas sebagai agensi kerajaan yang diberi mandat membangunkan industri francais negara. Melalui program ini, orang ramai didedahkan kepada peluang perniagaan francais, platform promosi untuk usahawan francaisor dan pra-francais, serta sesi bimbingan, pembiayaan dan khidmat nasihat termasuk taklimat BizConnect 360, perkongsian kisah usahawan dan konsultasi terus bersama pegawai Pernas di pavilion KUSKOP.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyifatkan, penganjuran karnival ini selaras dengan aspirasi kementerian untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara.

“Kolaborasi strategik antara UDA dan Pernas turut mencerminkan sinergi yang baik antara agensi- agensi di bawah KUSKOP dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan yang tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya dibawa terus ke peringkat akar umbi.

“Melalui platform seperti ini, orang ramai akan didedahkan kepada pendekatan menyeluruh merangkumi akses pasaran, jaringan strategik dan pemerkasaan jenama menerusi penglibatan KUSKOP serta agensi yang ada seiring dengan agenda melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, inovatif dan mampan.

“Penglibatan usahawan daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan trade mix menjadikan karnival ini sebuah platform yang inklusif serta relevan untuk semua lapisan masyarakat. Kepelbagaian ini membolehkan pengunjung menikmati pelbagai tawaran produk dan perkhidmatan khususnya daripada usahawan tempatan Sabah,” katanya.

Sementara itu, YBrs. Encik Johari Shukri Jamil, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, penganjuran yang kini memasuki edisi keempat merupakan antara inisiatif berterusan UDA menyokong agenda pemerkasaan usahawan tempatan khususnya dalam kalangan Bumiputera bagi mengukuhkan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan berdaya saing.

“Kami komited untuk memastikan setiap usaha yang dijalankan memberi impak yang positif kepada masyarakat. Pendekatan ini selaras dengan prinsip penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, Legasi (Legacy), Integrasi (Integrated), Ketelitian (Finesse) dan Memperkasa (Enrich), yang menjadi panduan dalam setiap operasi perniagaan bagi memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti dan pembangunan negara. Kami juga teruja untuk menjalinkan kolaborasi bersama Pernas dengan ‘Strategi Lautan Biru’ atau Blue Ocean Strategy untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Nor Azam M. Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas berkata, “Pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kolaborasi ini yang dilihat mampu memperkukuh ekosistem francais tempatan di samping mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta menjadi pemangkin pertumbuhan usahawan di pelbagai peringkat,” katanya.

Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas diadakan selama tiga hari bermula semalam. Sepanjang tempoh ini, antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk sesi taklimat 360 Franchise Pitch Perfect, 360 BizConnect, Franchise Frenzy serta GJC & 1901 TikTok Challenge oleh Pernas dan pertandingan mewarna Kelab Nuri oleh Bank Rakyat. Selain itu, pelbagai program untuk seisi keluarga seperti pertandingan karaoke, Battle of The Bands serta persembahan artis Jestie Alexius, Elica Paujin, Estranged, Dato’ Nash dan One Avenue Band serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal. Agensi-agensi di bawah KUSKOP juga telah memberikan kerjasama yang baik untuk pelaksanaan program ini.

Sempena karnival tersebut, UDA turut menawarkan pakej promosi Neu Pendington keseluruhan bernilai kira-kira RM1.08 juta, merangkumi pelbagai insentif menarik khusus untuk pengunjung dan pembeli berpotensi. Antara tawaran utama termasuk pakej bernilai RM30,000 untuk kelengkapan rumah separa lengkap serta ganjaran tambahan RM3,000 bagi setiap tempahan unit yang dibuat sepanjang tempoh karnival dan Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani dalam masa 30 hari.

Neu Pendington merupakan sebuah pembangunan bercampur terletak di Jalan Datuk Marican Salleh, Kuching. Pembangunan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ini merangkumi lebih 300 unit pangsapuri servis, ruang komersial dan hotel yang dibangunkan secara berfasa di atas tanah seluas 5.106 hektar dan berdekatan pusat bandar Kuching serta lapangan terbang dan stesen Transit Aliran Autonomi (ART).

Selain itu, sempena sambutan bulan kemerdekaan, UDA turut memperkenalkan kempen promosi 68th Merdeka Deals yang menawarkan baucar barangan Panasonic dengan nilai keseluruhan sehingga RM68,000, terbuka kepada semua pembeli produk hartanah UDA di seluruh negara. Kempen ini bermula pada 1 Ogos sehingga 30 September 2025, mengikut terma dan syarat. Pada masa sama, pengunjung juga boleh mengambil peluang kempen “Refer & Cash-ing” bagi menikmati ganjaran tunai bernilai sehingga RM5,000 sekiranya mereka merujuk pembeli berpotensi bagi pembelian produk-produk hartanah terpilih, mengikut terma dan syarat.

UDA juga terus memperkukuh program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares dengan menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah keseluruhan RM50,000 kepada 100 asnaf daripada komuniti setempat; lima usahawan asnaf serta tiga buah masjid iaitu Masjid Al-Fattah Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, Masjid Baiturrahman Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah dan Masjid Baitussalaam Vista Minintod, Penampang.

Di samping itu, Pernas juga melaksanakan program CSR dengan sumbangan berjumlah RM41,000 berupa kelengkapan untuk Pastry Workshop Enhancement, Sekolah Menengah Kebangsaan Bahang dan naik taraf gelanggang futsal komuniti Kg. Tampasak, Babagon serta bantuan kepada 30 asnaf.

Download
  • Messenger