October
2022

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Johor Mempergiat Aktiviti Keusahawanan

JOHOR BAHRU, 22 Oktober 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Karnival yang berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober 2022 itu menampilkan penyertaan 133 usahawan dari pelbagai bidang seterusnya merancakkan perniagaan dan sosioekonomi tempatan. Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, UDA teruja dengan maklum balas yang positif daripada Keluarga Usahawan yang menyertai Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang telah berlangsung di dua buah lokasi sebelum ini iaitu di Odeon Walk, Kuala Lumpur dan Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia sebelum ini, sebanyak 300 gerai jualan usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM6.5 juta. UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di karnival ini dan juga yang akan berlangsung di Angsana Ipoh Mall, Perak serta di Serambi Teruntum Kuantan, Pahang seterusnya membantu mengembangkan potensi Keluarga Usahawan.

“Penganjuran karnival ini turut diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang pekerjaan baharu seterusnya merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia. Langkah proaktif UDA ini juga bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia, hari ini.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Norliza turut berkesempatan menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat (4) usahawan asnaf tempatan. UDA berharap sumbangan ini menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus bersemangat meneruskan perniagaan mereka.

Menerusi cabang perniagaan hartanah, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna untuk Semua Generasi’ secara serentak di semua jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia. Kempen hartanah tersebut adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam (6) karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. Pelbagai produk dan tawaran istimewa disediakan bagi pembeli yang mendapatkan hartanah UDA sepanjang tempoh kempen.

Antara produk hartanah kediaman dan komersial yang ditawarkan di negeri Johor adalah Pisonia Ville (Pakej 3), Areca Terrace dan Neuvo Centro (Pakej 2 & 3). UDA Property Johor menawarkan insentif jualan dan pakej pemilikan mudah seperti beli, sewa atau sewabeli bagi menarik minat usahawan dan para pelabur untuk memiliki produk komersial bagi mengembangkan aktiviti keusahawan mereka.

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Johor turut menjadi platform kepada pengunjung khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang insentif bersesuaian di gerai pameran KUSKOP serta agensi-agensi di bawahnya seperti Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Selain itu, UDA dengan kerjasama organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA), Richworks International Sdn Bhd (RichWorks) serta organisasi sokongan seperti Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ninja Van dan KRU turut bersama bagi memvariasikan barisan usahawan dan produk yang ditawarkan. UDA turut mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di karnival tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya pameran dan jualan dari setiap segmen perniagaan UDA, ceramah berkaitan kewangan kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC). Program turut disemarakkan lagi dengan sesi perkongsian (pocket talk) ‘Pemerkasaan Usahawan’ oleh UDA dan agensi-agensi KUSKOP, sesi perkongsian bersama RichWorks Titan dan usahawan selebriti serta aktiviti pentas bersama usahawan.

Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, pertandingan karaoke, jualan lelong (hari ketiga), zumba (hari ketiga), menonton persembahan penghibur jalanan (busker) serta persembahan artis terkemuka seperti Black Hanifah dan Bandi Amuk (hari pertama), Shiha Zikir dan Rahmad Mega (hari kedua).

Kunjungi UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dan temui usahawan yang menampilkan pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, termasuk jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. Sebarang maklumat lanjut berkaitan karnival dan usahawan sila layari www.udamalls.com.my manakala bagi yang berminat untuk mendapatkan informasi produk hartanah UDA, sila layari www.udaproperty.com.my.

Download
  • Messenger