May
2022

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2022 - Lawatan kerja YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri ke Jepun pada 27 Mei 2022 merupakan langkah proaktif bagi menggiatkan sektor ekonomi di Malaysia seterusnya mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

Semasa lawatan tersebut, beliau turut menyertai sesi ramah mesra dan penyerahan dokumen bersama syarikat Jepun dan bertemu pemain industri dari syarikat pelbagai bidang termasuk minyak dan gas, pembuatan serta perkhidmatan bagi mengintai peluang pelaburan.

YB Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas usaha tersebut yang memberikan impak positif dan suntikan baharu kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia agar terus berkembang pesat terutamanya selepas pandemik.

YB Tan Sri Noh berkata, “Dalam pertemuan Perdana Menteri Malaysia bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui Fudosan Co. Ltd, Masanobu Komoda turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab penting bagi mengembangkan perniagaan dan pelaburan Mitsui Fudosan.

“Terbaharu, syarikat multinasional tersebut telah bertapak di Bukit Bintang City Centre (BBCC) dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.8 bilion dan projek tersebut melibatkan usaha sama UDA Holdings Berhad agensi di bawah KUSKOP.

“Pelaburan tersebut telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta membantu memperkasakan Bangsa Usahawan menerusi penyediaan ruang perniagaan bertaraf antarabangsa di lokasi strategik. Usahawan khususnya PKS harus mengambil peluang untuk memperkasa perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.” kata beliau.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
28 Mei 2022

Download
  • Messenger