KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 - Pada 6 Jun 2025, UDA Holdings Berhad (UDA) telah mengesan satu ancaman keselamatan siber yang menjejaskan beberapa sistem komputer di premisnya.
Johari Shukri Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, "Keutamaan kami adalah untuk memastikan kelangsungan operasi dan melindungi kepentingan para pemegang taruh. Walaupun insiden ini telah menyebabkan gangguan sebahagian perkhidmatan kami, pasukan kami sedang bekerjasama dengan perunding dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengurangkan impak dan mengekalkan fungsi-fungsi penting."
Susulan itu, satu siasatan menyeluruh telah dilancarkan serta-merta untuk menilai skop dan tahap keseriusan insiden tersebut. Pihak berkuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi telah dimaklumkan serta dirujuk bagi menangani insiden tersebut. Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah UDA juga telah dimaklumkan.
Pada masa yang sama, pasukan teknikal dan operasi UDA terus giat menjalankan langkah- langkah penting untuk melindungi infrastruktur organisasi. UDA komited mengutamakan keselamatan, perlindungan dan ketahanan sistem sambil memulihkan operasi sepenuhnya serta memastikan segala perkhidmatan dan operasi berjalan lancar.
Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, Ketua Eksekutif NACSA berkata, "NACSA telah memantau situasi ini dengan teliti selepas menerima laporan daripada UDA Holdings. NACSA komited menyokong UDA menangani insiden ini dalam memperkukuhkan kedudukan keselamatan sibernya. Kami sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan tindakan yang lebih teratur dan menyeluruh."
