August
2022

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di sini, hari ini.

Karnival yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober 2022 di Odeon Walk, Kuala Lumpur (26- 28 Ogos), Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 September), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 September), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 September-2 Oktober) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Oktober) itu menyasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi.

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.

“Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini merupakan antara inisiatif UDA bersama Kementerian melahirkan lebih ramai lagi Keluarga Usahawan di Malaysia. Inisiatif ini juga diharap dapat merancakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan dari golongan wanita khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah.

“Akronim ‘USHA’ bermaksud 'UDA Sempurnakan Hari Anda’ yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival ini menjadi aspirasi UDA dalam menyediakan peluang dan platform untuk memperkasa serta memajukan usahawan dari pelbagai latar belakang,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, sasaran penglibatan golongan wanita, belia serta graduan dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.

Penganjuran karnival itu juga seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE di mana UDA komited memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.

Selain itu, UDA turut berkolaborasi dengan KUSKOP serta agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Rakyat dan banyak lagi bagi membuka peluang kepada usahawan meneroka insentif bersesuaian. Bagi merancakkan lagi program ini, UDA turut menjalin kerjasama dengan organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA) dan Richworks.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pameran dan gerai jualan dari setiap segmen perniagaan UDA merangkumi hartanah, hotel, premis perniagaan dan pengurusan fasiliti. Menerusi cadang perniagaan hartanah, UDA menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna untuk Semua Generasi’ secara serentak di UDA USHAniaga Keluarga Malaysia.

Kempen hartanah tersebut adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam (6) karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. Pelbagai tawaran istimewa turut disediakan bagi pembeli yang mendapatkan hartanah UDA sepanjang tempoh kempen.

Kunjungi UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dan temui usahawan dari pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, termasuk jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.udamall.com.my.

Download
  • Messenger