December
2025

SIARAN MEDIA
UDA BANGUNKAN 1,402 RUMAH MAMPU MILIK DI KUALA LUMPUR


KUALA LUMPUR, 11 Disember 2025 - UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terus memperkukuh peranan dengan merealisasikan pembangunan 1,402 unit rumah mampu milik di sekitar ibu negara.

Daripada jumlah tersebut, 700 unit telah siap dibangunkan merangkumi 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit di Residensi Akasia Jubilee, manakala 702 unit Residensi Akasia Raya kini dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada 2029. Setiap unit rumah mampu milik yang dibangunkan oleh UDA ditawarkan pada harga RM300,000.

YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, “Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus terhadap penyediaan kediaman mampu milik di kawasan bandar.

“Ia bagi memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah yang selesa, berkualiti dan selamat pada harga berpatutan, selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan cabaran urbanisasi masa kini.

“Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee, hari ini.

YBrs. Encik Azrudyn Rashid, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Interim, UDA berkata usaha ini sejajar dengan komitmen UDA untuk memperkasa komuniti setempat serta menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif khususnya kepada golongan Bumiputera di kawasan bandar seterusnya menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada masyarakat.

“Dari sudut pasaran, penawaran UDA jelas kompetitif pada kadar sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek sekitar dengan purata berharga kira-kira RM592 sekaki persegi. Projek UDA berada pada paras harga mampu milik, membuktikan komitmen UDA terhadap kesejahteraan komuniti bandar tanpa mengabaikan tuntutan pasaran dan nilai hartanah jangka panjang.

“Pendekatan UDA yang berteraskan harga munasabah, lokasi strategik dan keluasan kediaman yang selesa terus membuka peluang kepada golongan belia, pembeli rumah pertama dan warga kerja bandar untuk memiliki kediaman di pusat Kuala Lumpur. Prinsip ini kekal selari dengan mandat kami untuk mengimbangi kelestarian komersial dengan tanggungjawab sosial,” kata beliau ketika berucap di majlis yang sama.

Residensi Akasia Jubilee merupakan projek rumah mampu milik UDA yang kedua di tengah bandar Kuala Lumpur dengan keluasan unit 814 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, ruang dobi dan ruang tadika serta akses mudah melalui Jalan Loke Yew dan kedudukannya yang berhampiran pelbagai kemudahan serta pusat tarikan utama bandar.

 

Menurut Encik Azrudyn lagi, “Kini, UDA sedang membangunkan Fasa Kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan Residensi Akasia Jubilee dan dijangka siap pada tahun 2029. Pembangunan ini bukan sahaja meneruskan kesinambungan tetapi juga menambah bilangan kediaman mampu milik dan berkualiti yang dapat ditawarkan kepada masyarakat bandar.

“Sebanyak 50% unit telah dijual dan baki 50% lagi (351 unit) dibuka kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000. Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan UDA agar penjawat awam turut berpeluang memiliki kediaman berkualiti di lokasi strategik Kuala Lumpur,” kata beliau.

UDA kini turut membangunkan Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, sebuah apartmen moden berkeluasan 850 hingga 1,160 kaki persegi dan berharga bermula RM447,888. Lengkap dengan fasiliti seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan pengecasan EV, projek ini berada dalam komuniti matang dengan akses mudah ke pelbagai kemudahan awam, menjadikannya pilihan ideal bagi keluarga muda dan pembeli rumah pertama yang mencari kediaman selesa pada nilai kompetitif.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk info terkini dan jangan lepaskan peluang memiliki hartanah UDA.


TAMAT

 

UDA HOLDINGS BERHAD

 

Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Setelah lebih lima dekad, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.

UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).

UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan dengan menerapkan ciri-ciri ‘Life’ iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my. Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:

 

Nisa Kamaruzaman

| n.hanisah@udanet.com

| +6013 597 4264

Ahmad Fadhlullah Adnan

| ahmad.fadhlullah@udanet.com

| +6019 493 2154

 

Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,

Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855

 

“MEMPERKASA GAYA HIDUP LESTARI”

Download
  • Messenger