September
2024

CHERAS, 27 September 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti menyasarkan sebanyak RM112.5 juta jumlah jualan sempena Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang yang berlangsung di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Karnival yang membawakan seramai 170 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu bertujuan merangsang aktiviti keusahawanan setempat seterusnya membantu melahirkan usahawan tempatan yang mampan dan berdaya saing. Berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 September, karnival tersebut turut mengukuhkan elemen kelestarian UDA dengan menggalakkan keterlibatan usahawan asnaf dan usahawan orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, karnival tersebut antara lain mengangkat peranan UDA dalam meningkatkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar dengan menawarkan pelbagai segmen hartanah sesuai untuk semua generasi dan latar belakang. Bersempena karnival di Lembah Klang itu, UDA mengetengahkan 16 produk hartanah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang yang merupakan lokasi kedua bagi jelajah karnival tersebut terus mengangkat aspirasi UDA iaitu memperkasa usahawan PMKS selain membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA yang bersesuaian. Selari dengan matlamat ini, UDA menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM112.5 juta merangkumi jualan hartanah bernilai RM110 juta serta nilai jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta.

“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Karnival UDA 2024 bagi mendukung perkembangan usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang berupa insentif sewaan gerai jualan. Selain itu, UDA turut menyokong usahawan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan yang merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan dan insentif pengiklanan digital melalui green screen.

“Dalam masa yang sama, UDA terus melancarkan beberapa projek terbaru pada suku kedua tahun ini bagi menggalakkan lagi usaha pemilikan hartanah. Antara produk hartanah yang diketengahkan di karnival ini adalah Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu dan Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan. Selain itu, UDA turut mengetengahkan Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C) di Bandar UDA Utama, Johor Bahru serta Sedili Residensi di Kota Tinggi. Manakala di sebelah utara, UDA memperkenalkan Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya, dan Taman Sena Permai di Kangar. Bagi kawasan pembangunan baru seperti Sarawak, UDA membawakan projek Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching. Sudah semestinya untuk warga kota di Lembah Klang, UDA menampilkan tiga projek kediaman baru iaitu Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar dan juga Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur,” kata beliau.

Usaha tersebut selari dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE yang membawa maksud ‘Legacy’, ‘Integrated’, ‘Finesse’ dan ‘Enrich’ atau Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa dalam menyumbang ke arah kelestarian UDA dan bersama meneruskan legasi UDA seterusnya memperkasa ekonomi Madani.

Datuk Sr Mohd. Salem menambah, “Selain mengetengahkan produk berkualiti dan bernilai tinggi, sasaran jualan produk hartanah akan digiatkan melalui kempen jualan hartanah baharu ‘Jimat Super Deals’. Kempen yang dikhususkan kepada pembeli produk hartanah UDA untuk memudahkan pemilikan hartanah dan merangkumi promosi serta tawaran istimewa seperti insentif pelan pemilikan yang mudah, yuran guaman percuma untuk surat cara perjanjian jual beli dan bayaran pendahuluan rendah.

“Selain itu, Karnival UDA 2024 turut menjadi platform menyalurkan maklumat produk hartanah UDA selain menyediakan nasihat dan bimbingan kepada pelanggan untuk mendapatkan insentif, bantuan kewangan serta menyesuaikan dengan produk hartanah idaman, tertakluk terma dan syarat ditetapkan,” kata beliau.

Bagi menyantuni komuniti asnaf, UDA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares turut menyalurkan sumbangan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000.00 serta kepada lima buah surau dan masjlid di sekitar Bandar Tun Hussein Onn berjumlah RM50,000.00. Selain itu, menerusi program UDA Cares, UDA turut mengagihkan sebanyak RM100,000.00 untuk Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime kepada seramai 1,000 pelajar yang layak. Melalui acara larian ‘Karnival UDA Fun Run’, UDA juga menyalurkan hasil kutipan berjumlah RM14,000.00 kepada empat buah sekolah di sekitar Bandar Tun Hussein Onn. Inisiatif tersebut selari dengan fokus UDA iaitu mengimbangi penjanaan keuntungan dan menyumbang semula kepada komuniti setempat.

Pelbagai tarikan baru dibawakan sempena Karnival UDA @ Lembah Klang antaranya kolaborasi UDA dengan rakan-rakan strategik seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Majlis Sukan Negara (Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita), Ideaktiv (entiti di bawah Kumpulan Karangkraf dan Astro), DC Healthcare Holdings Berhad, Angkatan Tentera Malaysia (Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia), CelcomDigi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Textile) dan Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd bagi menyalurkan maklumat bermanfaat kepada usahawan serta pengunjung.

Jalinan kerjasama antara UDA dan rakan strategik turut membuka peluang padanan perniagaan (business matching), meluaskan skop perniagaan dan perkongsian ilmu agar dapat memenuhi keterangkuman sosial serta kesaksamaan peluang khususnya di kalangan usahawan asnaf dan OKU. Selain itu, pelbagai gerai jualan usahawan, pameran agensi kerajaan dan rakan strategik, aktiviti sukan, konsert dan Jualan Madani oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia disediakan untuk pengunjung.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger