JOHOR BAHRU, 10 Februari 2025 - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) menyumbang zakat wakalah berjumlah RM60,000 kepada 200 pelajar asnaf menerusi Program UDA Cares; Back to School 2025 @ South yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
Setiap pelajar dibawa membeli belah kelengkapan sekolah bernilai RM300 di Angsana Johor Bahru Mall, selain menerima beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman. Mereka dipilih dari 10 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga; SK Kompleks UDA; SK UDA 2; SK Kampung Pasir; SK Pengkalan Rinting; SK Tasek Utara; SK Taman Cempaka; SK Seri Kenanga dan SK Seri Melati serta SK Perumahan Tampoi 2 yang terletak di sekitar wilayah pembangunan UDA.
Encik Zahrin Zakaria, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Program UDA Cares; Back to School 2025 @ South yang dilaksanakan setiap tahun ini memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta selaras dengan peranan UDA membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat khususnya Bumiputera”.
Menurutnya, “Sumbangan ini juga diharap dapat memberi semangat dan menceriakan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun baharu dengan lebih selesa selain meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan”.
“Usaha ini selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat serta negara, selaras dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau bagi Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),” katanya.
Program UDA Cares; Back to School 2025 @ South dihadiri oleh Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA diiringi Encik Imran Salleh, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall dan Encik Ismail Dasuki, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd. Turut hadir guru besar dan guru pengiring dari sekolah terpilih.
Menerusi program yang sama, UDA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyumbangkan beg sekolah, alat tulis dan bekas minuman kepada 102 pelajar di Sandakan, Sabah dan 200 unit kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bahaman, Lanchang di Pahang pada Disember lepas.
Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.
UDA Bantu Pelajar Asnaf Sedia Kelengkapan Sekolah
10
February
2025