October
2024

KEPALA BATAS, 18 Oktober 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkasa pembangunan hartanah dan mempergiat inisiatif kelestarian alam sekitar menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), hari ini, di sini.

Menerusi jalinan kerjasama tersebut, Bank Islam menyediakan pembiayaan komprehensif merangkumi perumahan dan komersial, pembelian panel solar dan pengecas dinding kenderaan elektrik (EV) atau penyelesaian tenaga boleh diperbaharui lain yang berkaitan selain membiaya kos pengubahsuaian serta pembelian perabot dan kelengkapan.
Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Kolaborasi strategik antara UDA dengan Bank Islam ini selari dengan matlamat kelestarian UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari dengan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam. Inisiatif ini turut menterjemahkan komitmen UDA dalam mengimbangi aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar serta menyokong aspirasi kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050.

“Melalui usaha sama ini juga UDA berpeluang meluaskan pemasaran rangkaian produk hartanah kediaman dan dalam masa yang sama memperkenalkan pakej pembiayaan perumahan serta pembiayaan tambahan Bank Islam kepada bakal pembeli. Semoga persefahaman yang dimeterai ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan merancakkan sektor pembangunan hartanah yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara seterusnya menuju ke arah pemerkasaan Ekonomi MADANI,” kata beliau.

Jalinan kerjasama UDA dan Bank Islam itu dapat memenuhi tiga daripada sembilan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang sedang dilaksanakan oleh UDA iaitu, (7) Tenaga Berpatutan dan Bersih, (11) Komuniti & Bandar Mampan dan (13) Tindakan & Perubahan Iklim yang diiktiraf secara global.

Usaha tersebut turut bertepatan dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE, akronim bagi ‘Legasi (Legacy)’, ‘Integrasi (Integrated)’, ‘Ketelitian (Finesse)’ dan ‘Memperkasa (Enrich)’ yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan bagi meneruskan legasi UDA dengan menumpukan kepada pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.
Majlis Menandatangani MoU antara UDA dengan Bank Islam berlangsung di Crescent Dew Clubhouse yang terletak di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. MoU tersebut ditandatangani oleh Encik Noor Azmi Salleh, Ketua Pegawai Operasi, Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA dan Encik Zamree Mohamed, Pengarah, Perbankan Runcit dan Pengagihan Bank Islam.

Kini, UDA sedang menawarkan pelbagai hartanah kediaman di seluruh Malaysia antaranya Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah 2, Seberang Jaya, Taman Sena Permai di Kangar, Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Areca Terrace dan UDA Heights di Bandar UDA Utama, Taman Sedili di Kota Tinggi, Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar, Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur, Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan dan Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching.

Layari laman web www.uda.com.my, Instagram (@uda_official) atau Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger