SIARAN MEDIA
UDA LANCAR SOKONGAN RASMI VISIT JOHOR 2026, TARIK LEBIH 2,000 PENYERTAAN
MENERUSI UDA NIGHT RUN & MIDNIGHT SALES
JOHOR BAHRU, 3 Januari 2026 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti secara rasmi melancarkan penglibatan dan sokongan strategiknya terhadap kempen Tahun Melawat Johor 2026 (Visit Johor 2026) menerusi penganjuran acara komuniti UDA Night Run & Midnight Sales di Angsana Johor Bahru Mall (AJBM), hari ini.
Acara anjuran UDA melalui anak syarikat UDA Angsana Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd (UDA Land South) itu berjaya menarik lebih 2,000 peserta dan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai UDA Night Run 2026. Penganjuran ini mencerminkan usaha UDA dalam memperkasa peranan premis komersial sebagai hab komuniti, meneruskan aktiviti promosi hartanah yang boleh dimiliki, sekali gus merapatkan hubungan komuniti, menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Negeri Johor.
Program yang berlangsung buat julung kalinya di AJBM ini berjalan dari jam 7.30 malam hingga 1.00 pagi, menampilkan pelbagai pengisian utama termasuk larian malam, jualan tengah malam, jualan dan promosi produk hartanah UDA, persembahan hiburan oleh One Avenue Band dan Rahmad Mega serta cabutan bertuah. Laluan larian merangkumi kawasan sekitar Bandar Baru UDA dengan pelepasan dan penamat di AJBM.
YBrs. Encik Azrudyn Rashid, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA, berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen UDA untuk membangunkan ekosistem bandar yang berdaya huni dan inklusif, selain memastikan pembangunan dan premis komersial sedia ada dan akan datang yang dibangunkan UDA terus relevan, aktif dan memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.
“UDA bukan sekadar membangunkan hartanah fizikal, sebaliknya berperanan membina bandar yang hidup dan berdaya saing. UDA Night Run & Midnight Sales merupakan antara platform tahun baharu dalam menyokong Visit Johor 2026 melalui penglibatan komuniti dan merancakkan pusat beli-belah secara berimpak,” katanya.
Menurut beliau, program ini turut berfungsi sebagai medium memperkukuh kewujudan jenama UDA yang telah bertapak 50 tahun di selatan tanah air, serta memperkenalkan peranan dan sumbangan syarikat dalam pembangunan bandar.
Dalam usaha memperluas pendedahan pemilikan hartanah, UDA Land South membuka pameran dan jualan hartanah sepanjang penganjuran Midnight Sales di AJBM bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat terkini berkaitan projek pembangunan UDA di Johor.
Antara projek semasa yang diketengahkan ialah UDA Heights di Bandar UDA Utama yang menawarkan kediaman rumah berkembar dan banglo dua tingkat, serta Sedili Residensi di Taman Sedili, Kota Tinggi yang menampilkan rumah teres satu Tingkat mampu milik. Turut dipromosikan ialah projek baharu yang dijadualkan untuk pelancaran pada tahun 2026 dan 2027, termasuk rumah teres dua tingkat di UDA Enclave, Residensi Monstera yang menawarkan rumah bandar dua dan tiga tingkat di Bandar UDA Utama, serta Ebony, iaitu pangsapuri servis setinggi 34 tingkat di Bandar Baru UDA.
Sebagai insentif khas sempena Midnight Sales, UDA Land South turut menawarkan promosi eksklusif berupa IKEA Gift Card bernilai RM2,000 kepada lima tempahan hartanah terawal yang dibuat pada hari penganjuran.
Dalam masa yang sama, AJBM turut merancang pelaksanaan beberapa program berskala komuniti dalam tempoh terdekat antaranya Karnival BSN SSP yang berlangsung dari 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 dengan sokongan UDA Land South.
Selain itu, AJBM turut menjadualkan penganjuran acara komuniti berskala besar lain termasuk Promosi Pra-Ramadan bermula 14 Januari, diikuti Karnival Aidilfitri yang akan berlangsung dari 5 Februari hingga malam raya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.uda.com.my atau mengikuti Instagram (@uda_official) serta Facebook (UDA Holdings Berhad).
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Setelah lebih lima dekad, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan dengan menerapkan ciri-ciri ‘Life’ iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my. Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
|
|
Dzaqiatul Syahira Asmapi |
| +6018 375 2208 |
Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
“MEMPERKASA GAYA HIDUP LESTARI”
