August
2022

UDA Memperkukuh Aset Secara Strategik Menerusi Pemeteraian Perjanjian Jual Beli Hotel di Bukit Bintang City Centre

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan memeterai perjanjian jual beli dengan BBCC Development Sdn Bhd (BBCC Development) bagi pembelian bangunan hotel di Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini, hari ini.

Pemeteraian itu merupakan langkah proaktif UDA memperkukuh aset secara strategik. Hotel yang merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan BBCC itu dijangka siap dan bakal diserahkan kepada UDA pada suku ketiga tahun 2024.

Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, "Pembelian bangunan hotel bernilai RM295 juta itu merupakan strategi UDA dalam merancakkan lagi cabang perniagaan hospitaliti menerusi anak syarikat AnCasa Hotels & Resorts. UDA mempunyai kepakaran bidang tersebut yang berupaya memacu perniagaan hotel yang bakal menjadi tumpuan para pelancong di ibu kota.

"Pelaburan ini juga mampu meningkatkan keuntungan positif seterusnya menggalakkan industri pelancongan negara. Ini berikutan lokasinya yang strategik terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur serta akses mudah dengan hab pengangkutan yang komprehensif merangkumi Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel KL di BBCC,” kata beliau ketika menyaksikan upacara menandatangani perjanjian jual beli tersebut.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA dan Encik Low Thiam Chin, Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development. Majlis tersebut berlangsung di Galeri Jualan BBCC, Kuala Lumpur itu turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim selaku Pengerusi UDA dan Pengerusi BBCC Development serta YBhg. Dato' Chang Khim Wah, Pengarah BBCC Development dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad (EWDG Berhad).

Hotel ini kelak mampu melengkapkan komponen pembangunan di BBCC yang turut dilengkapi dewan konsert Zepp Kuala Lumpur (anak syarikat Sony Music Entertainment (Japan) Inc), Malaysia Grand Bazaar, panggung wayang dan dewan bankuet yang terletak dalam hab hiburan di bawah hotel tersebut. Kini, fasa pembangunan bercampur di BBCC telah lengkap dengan pembangunan kediaman, pejabat dan kompleks beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport.

Hotel yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2024 itu bakal menyediakan 450 unit penginapan dan menawarkan pilihan 1, 2 dan 3 bilik yang mampu memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengunjung sama ada untuk urusan perniagaan mahupun bersantai. Selain daripada menerapkan elemen sejarah Kuala Lumpur dalam keseluruhan konsep hotel, tema keunikan Malaysia turut diketengahkan bagi memberikan pengalaman baharu kepada tetamu hotel.

Usaha ini selari dengan prinsip utama perniagaan hospitaliti iaitu ‘Enjoy Life’ di mana UDA komited menyediakan pengalaman terbaik sepanjang penginapan di rangkaian hotel UDA. ‘Enjoy Life’ merupakan sebahagian daripada penjenamaan baharu iaitu 'Life' yang membawa maksud Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).

Download
  • Messenger