SIARAN MEDIA
UDA OPTIMIS PASARAN HARTANAH 2026 KEKAL BERDAYA TAHAN, TERUS
BERKEMBANG
KUALA LUMPUR, 6 Februari 2026 - UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), optimis prospek pasaran hartanah negara kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang lebih bersasar pada tahun 2026.
YBrs. Encik Azrudyn Rashid, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “UDA percaya perkembangan ini didorong oleh pelbagai inisiatif utama yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam merangsang pemilikan hartanah serta mengekalkan kestabilan pasaran domestik.
Menurut beliau, “Keyakinan ini turut diperkukuhkan menerusi komitmen terhadap sokongan reformasi struktur di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan memperkukuh tadbir urus, memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Antara inisiatif termasuk pelaksanaan pembangunan Residensi MADANI, pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, pengenaan duti setem ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing bagi menggalakkan pasaran yang lebih seimbang serta menggalakkan institusi kewangan untuk menyokong pelaksanaan skim sewa-beli rumah serta skim bina-kemudian-jual.
“Selain itu, sepanjang 2025, pasaran hartanah negara dilapor mencatatkan aktiviti pasaran yang stabil dengan peningkatan nilai transaksi, namun tetap menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh menjelang suku ketiga. Fenomena ini menandakan pasaran yang semakin berdaya tahan serta berterusan berkembang secara berperingkat dalam menghadapi cabaran pasaran khususnya dalam segmen kediaman dan hartanah berkualiti,” kata beliau.
Mengulas lanjut, YBrs. Encik Azrudyn berkata, “UDA komited untuk memaksimumkan prestasi kewangan serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memanfaatkan pihak berkepentingan secara menyeluruh bagi terus memenuhi mandat yang dipertanggungjawabkan seterusnya menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada masyarakat.
Katanya, “Tekad ini selari dengan ulang tahun ke-55 serta aspirasi ‘UDA Memenuhi Impian’ tahun ini. Kami komited untuk terus memainkan peranan strategik dalam membangunkan bandar, memperkasa usahawan dan membina komuniti mampan melalui pembangunan hartanah, ekosistem komersial yang dinamik, hospitaliti bernilai tambah serta pengurusan fasiliti yang profesional dan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta daya tahan jangka panjang.
“Tahun lepas, UDA berjaya melancarkan enam projek pembangunan hartanah termasuk Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista yang bernilai RM200,000 seunit dan Residensi Akasia Raya yang ditawarkan pada RM300,000 seunit di mana 351 unit diperuntukkan kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), dengan subsidi sehingga RM60,000 bagi setiap unit.
“Fokus UDA pada 2026 dalam pembangunan hartanah pula adalah memenuhi keperluan perumahan yang berkualiti, strategik dan mampu milik yang menawarkan gaya hidup berteraskan kelestarian. Tahun ini, kami berhasrat melancarkan hampir 1,000 unit pembangunan kediaman dan ruang komersial melalui tiga projek di Johor Bahru, Johor, serta masing-masing satu projek di Ipoh, Perak; dan Pekan, Pahang yang dijangka akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi dan masyarakat setempat, di samping memperkukuh kedudukan sebagai antara peneraju dalam industri hartanah negara.
“Kami juga akan terus komited meningkatkan pemilikan kediaman dalam kalangan masyarakat bandar, terutamanya golongan memerlukan. Usaha ini akan digerakkan melalui pendekatan ‘Whole of Government & Industry’, yang melibatkan kerjasama strategik usaha sama (JV) serta kolaborasi bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi berkaitan dan rakan industri. Pendekatan ini penting bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai, melancarkan proses pembangunan dan akhirnya menyediakan lebih banyak kediaman berkualiti dan mampu milik,” kata beliau.
YBrs. Encik Azrudyn berkata, “Dalam meneruskan usaha memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera, UDA akan memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta yang dijangka memanfaatkan lebih 600 usahawan kecil dan sederhana di seluruh negara sekali gus menyokong agenda Teras D KUSKOP dalam aspek perluasan akses pasaran dan adaptasi teknologi.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan ruang niaga, peluasan akses pasaran serta pengukuhan rantaian bekalan, antaranya melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang menawarkan kemudahan sewaan dan tapak sementara bagi menyokong kemasukan serta kelangsungan perniagaan usahawan kecil dan sederhana. Selain itu, penubuhan Malaysia Entrepreneur Hub (MEH) sebagai hab keusahawanan di lokasi strategik bandar bagi menyediakan ruang niaga bersepadu kepada usahawan, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan di Hab Keusahawanan Morten Walk, Melaka; inisiatif Pusat Runcit Sehenti MARi (MARi Mart) yang berperanan sebagai pusat sehenti (one-stop-centre) bagi memasarkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta inisiatif UDA Craft Corner (KIRANA) iaitu hab pemasaran dan jualan produk kraf dan hasil tangan daripada setiap negeri.
“Kami juga akan memanfaatkan peluang dalam sektor hospitaliti menerusi rangkaian syarikat, AnCasa Hotels & Resorts, menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merancakkan permintaan pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Menerusi sektor pengurusan fasiliti, rangkaian syarikat, UDA Dayaurus Sdn Bhd kini menguruskan lebih dua juta kaki persegi ruang bangunan. Sehubungan itu, kami berhasrat terus menyediakan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu, khidmat rundingan pengurusan fasiliti dan khidmat audit fasiliti bagi portfolio hartanah UDA, selain meneroka peluang kontrak baharu di luar konteks syarikat,” kata beliau.
Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk info terkini dan jangan lepaskan peluang memiliki hartanah UDA.
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi penjenamaan baharu ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my. Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
|
|
Ahmad Fadhlullah Adnan |
| +6019 493 2154 |
|
|
Dzaqiatul Syahira Asmapi |
| +6018 375 2208 |
Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
“MEMPERKASA GAYA HIDUP LESTARI”
