SIARAN MEDIA
UDA PERKASA PENDIDIKAN KELESTARIAN DI SEKOLAH ANGKAT MADANI @ JOHOR
JOHOR BAHRU, 12 MEI 2026 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terus memperkasa komuniti melalui pemantapan pendidikan kelestarian di empat buah Sekolah Angkat Madani di Negeri Johor.
Program di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Prihatin - Pendidikan itu memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi memanfaatkan 6,080 pelajar di empat sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar UDA 2, SK Kompleks UDA, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama dan SMK Bandar Baru UDA.
YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Sekolah Angkat Madani @ Johor, yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada Sekolah Angkat UDA, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh pendidikan kelestarian dan melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dalam komuniti di wilayah pembangunan UDA”.
“Sejak diperkenalkan pada 2024, inisiatif Sekolah Angkat UDA di bawah CSR UDA Prihatin - Pendidikan melalui anak syarikat, UDA Land South Sdn Bhd ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Keempat-empat sekolah ini mencatat pencapaian membanggakan dengan pengiktirafan Emas dan Perak bagi Sekolah Showcase Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor pada 2024 dan 2025, manakala SMK Bandar Baru UDA turut diiktiraf sebagai Sekolah Ikon Lestari Johor pada 2025,” kata beliau.
Tahun ini, UDA menyumbangkan empat unit mesin kompos bagi menyokong pengurusan sisa organik yang lebih mampan. Empat buah sekolah itu turut menerima peralatan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Alam Sekitar atau e-STEM seperti pencetak 3D, Snap Circuits Pro Kit dan Arduino Education Starter Kit. Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan pembelajaran secara lebih praktikal serta memberi ruang kepada pelajar membangunkan projek inovasi yang berteraskan kelestarian alam.
Pada masa yang sama, UDA turut menyalurkan sumbangan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi penganjuran bengkel pembangunan kapasiti berkaitan penghasilan kompos secara lebih sistematik. Program yang diberi nama UDA Lestari Buddies itu akan dilaksanakan di dua zon iaitu Johor Bahru dan Kota Tinggi dan memanfaatkan seramai 420 guru sekolah rendah dan menengah. Di samping itu, sumbangan akan turut digunakan bagi penganjuran Majlis Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor 2026 sebagai usaha mengiktiraf sekolah dan pelajar yang giat mempraktikkan inisiatif kelestarian.
Fokus UDA pada tahun ini juga selari dengan seruan YAB Dato' Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, dalam menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di mana program ini memenuhi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Yang Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Memerangi Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan Darat).
Pelbagai program telah berjaya dilaksanakan bersama empat buah sekolah terbabit sejak 2024 seperti pelaksanaan Recycle Drive-Thru, pembangunan Taman Herba, Ruang Lestari RMT SKODA, Taman Lestari Refleksologi serta UDA Agro Culture Park. Usaha ini membantu mengoptimumkan ruang sekolah bagi menerapkan elemen kelestarian, di samping mendidik pelajar mengenai teknik asas pertanian secara praktikal. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini selaras dengan agenda SDG khususnya SDG 2 (Sifar Kebuluran) dan SDG 3 (Kesihatan Yang Baik Dan Sejahtera), di samping menyokong SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad).
TAMAT
UDA HOLDINGS BERHAD
Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat beli-belah (UDA PIM), hospitaliti (AnCasa Hotels & Resorts) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).
UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
|
Radziah Mohamed Fadzil |
| +6017 337 7630 |
|
|
Nisa Kamaruzaman |
| +6013 597 4264 |
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855
