JOHOR BAHRU, 20 April 2022 - UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan sekali lagi menyalurkan bantuan zakat bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak asnaf di Johor Bahru menerusi Majlis Syukuri Ramadan, salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, hari ini.
Sumbangan zakat berjumlah RM27,000 itu diagihkan kepada 90 anak-anak asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh. Setiap anak-anak tersebut menerima sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang merangkumi baju raya, kasut raya dan duit raya. Seramai 40 anak- anak tersebut di bawah membeli-belah kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di Angsana Johor Bahru Mall hari ini. Manakala 50 lagi anak-anak akan dibawa membeli-belah di Angsana Johor Bahru Mall pada Jumaat (22 April 2022) akan datang.
Berucap pada majlis tersebut, YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Semoga sumbangan kecil yang UDA salurkan dapat mengukir senyuman besar di wajah anak-anak ini dan mereka lebih seronok serta ceria menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Setiap tahun UDA mengambil langkah murni meraikan golongan memerlukan bagi menghayati keberkatan bulan Ramadan. Pada tahun ini, UDA menjelajah ke setiap wilayah perniagaan UDA di seluruh Malaysia termasuk di Johor Bahru bagi membantu golongan asnaf membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri dan dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan UDA dengan komuniti setempat,” kata beliau.
Turut hadir pada jamuan berbuka puasa tersebut adalah YBrs. Sr Mohd. Salem Kailany Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, barisan pihak berkuasa tempatan, 40 anak-anak asnaf yang diraikan serta barisan pengurusan kanan UDA.
Pada majlis yang sama, UDA turut merasmikan Program CSR Usahawan Wanita, salah satu inisiatif CSR di bawah UDA Mall. Program CSR tersebut membuka peluang kepada 6 asnaf untuk berniaga di salah satu karnival tahunan terbesar Angsana Johor Bahru Mall iaitu Karnival Aidilfitri 2022 yang berlangsung dari 11 Mac hingga 2 Mei. Bantuan fasiliti itu diharap dapat mengembangkan perniagaan mereka selain memupuk semangat keusahawanan seterusnya membantu mereka menjana lebih pendapatan. Antara barangan yang ditawarkan adalah pakaian, aksesori, kuih raya serta barangan keperluan harian yang lain.
Sepanjang Ramadan ini, UDA telah menganjurkan Majlis Syukuri Ramadan di beberapa wilayah perniagaannya di seluruh Malaysia. Minggu lalu, UDA telah mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM65,000 kepada 40 anak-anak asnaf tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dari sekitar Pulau Pinang. Sebelum itu, UDA turut mengagihkan bubur lambuk di Angsana Seremban, Negeri Sembilan, salah sebuah pusat perniagaan di bawah seliaan anak syarikatnya. UDA turut berkesempatan mengedarkan bubur lambuk dan menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM27,000 di Bandar Tun Hussein Onn, Selangor salah sebuah perbandaran (township) milik UDA.
Pada 8 April lalu, UDA menyalurkan sumbangan berjumlah RM26,000 kepada 40 anak asnaf dari sekitar kawasan Pekan serta Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Pahang untuk disalurkan kepada golongan asnaf sekitar Pahang sempena Majlis Syukuri Ramadan di AnCasa Royale Pekan, salah sebuah rangkaian hotel milik UDA. Jumlah sumbangan zakat sempena Ramadan tahun ini telah mencecah RM145,000 membabitkan beberapa buah wilayah perniagaan UDA di seluruh Malaysia.
Sumbangan seumpama ini bukan pertama kali diadakan dan CSR UDA Cares akan dilaksanakan sepanjang tahun bertujuan memberi keseimbangan dalam perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada penjanaan keuntungan semata, tapi dalam masa yang sama menyumbang semula dan menambah nilai kepada komuniti. Setiap tahun, UDA sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan aktiviti UDA Cares dalam memastikan lebih ramai masyarakat setempat dapat dibantu dan menerima manfaat. Inisiatuf UDA Cares ini juga selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menekankan kepada ciri-ciri seperti Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).