May
2022

JOHOR BAHRU, 23 Mei 2022 - UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan mengambil langkah murni meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama warga emas di Johor Bahru menerusi Majlis Meriah Raya di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.

Pada majlis tersebut, UDA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares Enriching Life menyalurkan sumbangan zakat kepada 40 warga emas dari Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Johor Bahru di mana setiap seorang menerima duit raya berjumlah RM200 dan kuih raya. Majlis Meriah Raya yang diadakan di wilayah selatan ini turut meraikan kakitangan dan pelanggan korporat Angsana Johor Bahru Mall dan UDA Land South Sdn Bhd.

Berucap pada majlis tersebut, YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Semoga sumbangan kecil ini menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka lebih bermakna dan dapat mengukir senyuman. UDA menerusi program CSR UDA Cares sentiasa mengambil langkah murni mendekati golongan memerlukan khususnya bagi sambutan bermakna seperti Hari Raya Aidilfitri ini. Inisiatif ini juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan UDA dengan komuniti setempat.

“Setiap tahun, UDA sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan aktiviti UDA Cares dalam memastikan lebih ramai masyarakat setempat dapat dibantu dan menerima manfaat. Inisiatif UDA Cares ini juga selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menekankan kepada ciri-ciri seperti Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),” kata beliau.

Turut hadir pada Majlis Meriah Raya itu adalah YBrs. Sr Mohd. Salem Kailany Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA serta pengurusan kanan UDA. Seramai 2,000 jemputan turut hadir terdiri daripada wakil dari jabatan dan agensi kerajaan negeri, badan-badan korporat, pihak swasta, pelanggan serta penyewa di Angsana Johor Bahru Mall dan wakil dari UDA Land South Sdn Bhd. Majlis dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pentas yang diselang- selikan dengan tarian tradisional, persembahan ghazal dan persembahan busker raya.

YBrs. Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Pihak UDA mewakili Angsana Johor Bahru Mall ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor dan kerajaan Malaysia atas usaha membenarkan aktiviti merentas sempadan negara bermula 1 April lalu. Usaha ini secara tidak langsung dapat merancakkan kembali aktiviti perniagaan di kompleks beli-belah di negeri Johor termasuk Angsana Johor Bahru Mall dengan kunjungan warga Singapura. Langkah ini juga dilaksanakan pada waktu yang tepat ketika orang ramai sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sehingga kini, Angsana Johor Bahru Mall dapat mengekalkan kadar penghunian pada tahap yang baik iaitu 94% pada bulan April 2022. Ini adalah satu tanda/hasil yang positif bagi sektor perniagaan pusat beli-belah pasa masa ini,” kata beliau.

Bagi merancakkan kembali operasi Angsana Johor Bahru Mall, UDA mengambil inisiatif mempelbagaikan acara bagi menarik lebih ramai pengunjung sepanjang tahun ini. Antara aktiviti yang sedang berlangsung adalah ‘Euro Fun Park’ di Padang Begonia (bersebelahan Angsana Johor Bahru Mall) yang akan berakhir pada 19 Jun 2022. Selain itu, acara yang dinanti seperti ‘Pesta Pengantin’ dan ‘Sambutan Hari Koperasi Malaysia - 100 tahun’ juga dijangka akan diadakan pada bulan hadapan.

Maklumat lanjut berkenaan lot sewaan tetap dan promosi serta aktiviti terkini Angsana Johor Bahru Mall, sila berhubung dengan UDA Angsana Sdn Bhd di Lot L1.33a, Aras 1, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, Johor atau di talian 07-2351420 atau 011-65651420 atau layari https://udamalls.com.my/ atau laman Facebook Angsana Malls Malaysia.

Download
  • Messenger