BUKIT MERTAJAM, 28 Julai 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung ke Karnival UDA 2024 @ Penang yang berlangsung Tapak Parkir Gravitas, Jalan Baru Prai, di sini, hari ini.
Karnival UDA 2024 yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu membuka tirai jelajah di Pulau Pinang dengan menampilkan kelainan dan konsep baharu iaitu tujuh (7) zon untuk sesisi keluarga merangkumi Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma dan Jualan Pelbagai.
Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Keunikan yang diketengahkan pada karnival tahun ini diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung seterusnya mencapai dua matlamat utama penganjurannya iaitu memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih mampan dan berdaya saing selain membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA yang bersesuaian selaras dengan fokus UDA menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar.
“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengaspirasikan Karnival UDA 2024 bagi menggiatkan perkembangan usahawan PMKS melalui dua insentif utama iaitu Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) berupa insentif sewaan gerai jualan dan Program Pemerkasaan Usahawan yang merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan dan pengiklanan melalui green screen. Menerusi penganjuran Karnival UDA 2024 @ Penang, UDA menyasarkan pembabitan 160 usahawan dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM2.5 juta.
“Usaha ini selari dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE yang membawa maksud ‘Legacy’, ‘Integrated’, ‘Finesse’ dan ‘Enrich’ atau Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa dalam menyumbang ke arah kelestarian UDA dan bersama meneruskan legasi UDA seterusnya memperkasa ekonomi Madani,” kata beliau.
Sempena Karnival UDA 2024 @ Penang yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 26 Julai ini, UDA turut menyasarkan jualan hartanah bernilai RM37 juta dengan memfokuskan kepada rangkaian produk hartanah terbaharu untuk semua generasi dari utara ke selatan Semenanjung dan di Sarawak.
Pada tahun ini UDA menumpukan kepada 13 produk yang merangkumi pelbagai segmen hartanah seperti rumah mampu milik, rumah kategori terbuka, lot niaga serta ruang kedai pejabat seperti Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan serta Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C ) di Bandar UDA Utama.
UDA dalam perancangan melancarkan beberapa produk lagi pada tahun ini seperti Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching, Crescent Dew (Fasa 1B) dan Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya, Taman Sena Permai di Kangar, Sedili Residensi di Kota Tinggi, 21 BizHUB di Bandar UDA Utama serta Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur.
Datuk Sr Mohd. Salem menambah, “Selain mengetengahkan produk berkualiti dan bernilai tinggi, sasaran jualan produk hartanah akan digiatkan melalui kempen jualan hartanah baharu ‘Jimat Super Deals’. Kempen yang dikhususkan kepada pembeli produk hartanah UDA untuk memudahkan pemilikan hartanah dan merangkumi promosi serta tawaran istimewa seperti insentif Kebebasan Kewangan Tanpa Masalah (Hassle Free Financial Freedom), yuran guaman percuma untuk surat cara perjanjian jual beli dan bayaran pendahuluan rendah.
“Selain itu, Karnival UDA 2024 turut menjadi platform menyalurkan maklumat produk hartanah UDA selain menyediakan nasihat dan bimbingan kepada pelanggan untuk mendapatkan insentif, bantuan kewangan serta menyesuaikan dengan produk hartanah idaman, tertakluk terma dan syarat ditetapkan,” kata beliau.
Sempena Karnival UDA 2024, UDA menyampaikan dua hadiah utama Kempen Hartanah UDA Ria 2023 berupa kereta Perodua Ativa kepada dua pembeli hartanah UDA iaitu Puan Sarah Fathiyah Binti Mubarak dan Encik They Wee Jin yang membuat pembelian hartanah UDA sepanjang kempen itu berlangsung. Selain itu, pembeli bertuah turut memenangi empat (4) hadiah berupa pakej percutian ke Dubai, Pulau Nami, Pulau Bali dan Pulau Semporna dan lima (5) pakej penginapan di rangkaian AnCasa Hotels & Resorts selain 50 unit kad minyak Petronas RM100 dan 50 kad Touch n Go RM50.
Bagi menyantuni komuniti asnaf, UDA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares turut menyalurkan sumbangan zakat wakalah kepada usahawan dan pelajar asnaf. Sebanyak RM30,000 sumbangan zakat memanfaatkan 10 usahawan asnaf di Pulau Pinang. Bagi sumbangan kepada pelajar asnaf pula, UDA mengagihkan sebanyak RM128,450 menerusi Sumbangan Program UDA Cares untuk Tabung SSPN Prime kepada hampir 1,500 pelajar yang layak. Inisiatif tersebut selari dengan fokus UDA iaitu mengimbangi penjanaan keuntungan dan menyumbang semula kepada komuniti setempat.
Pelbagai tarikan baharu dibawakan sempena Karnival UDA @ Penang antaranya kolaborasi UDA dengan rakan-rakan strategik seperti Majlis Sukan Negara (Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita), Ideaktiv (entiti di bawah Kumpulan Karangkraf dan Astro), DC Healthcare Holdings Berhad, Angkatan Tentera Malaysia (Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia), CelcomDigi dan Majlis Bandaraya Seberang Perai bagi menyalurkan maklumat bermanfaat kepada pengunjung. Jalinan kerjasama antara UDA dan rakan strategik turut membuka peluang padanan perniagaan (business matching), meluaskan skop perniagaan dan perkongsian ilmu agar dapat memenuhi keterangkuman sosial serta kesaksamaan peluang khususnya di kalangan usahawan asnaf dan kurang upaya. Selain itu, pelbagai gerai jualan usahawan, pameran agensi kerajaan dan rakan strategik, aktiviti sukan, konsert dan Jualan Madani oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia disediakan untuk pengunjung.
Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.
UDA Sasar 100,000 Pengunjung Ke Karnival UDA 2024 @ Penang
28
July
2024