February
2025

IPOH, 20 Februari 2025 - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) terus mempergiat usaha memperkasa komuniti setempat khususnya Bumiputera.

Merangkumi aspek pendidikan digital, pembudayaan kelestarian, pembangunan sukan dan program komuniti dengan masyarakat di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA berkata, “Pemantapan pendidikan digital merupakan inisiatif UDA dalam menyokong pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing”.
“Komitmen ini sebagai bukti UDA yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menambah baik ekosistem pendidikan tempatan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Menerusi inisiatif ini, UDA menyalurkan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) bernilai RM22,100.00 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah angkat Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar di bawah program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani). Beliau pernah menjadi murid sekolah rendah di sekolah tersebut antara tahun 1962- 1964.

Kesemua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas pra sekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khas termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.

Sementara itu, beliau menambah, “Pembudayaan kelestarian pula bertujuan memupuk amalan kemampanan dan kesedaran alam sekitar serta pembangunan kendiri dalam kalangan komuniti khususnya di peringkat sekolah. Justeru, UDA dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak sedang membangunkan projek tanaman hidroponik di sekolah ini”.

“Program pertanian bandar seumpama ini diperkenalkan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya subjek keterjaminan makanan serta membimbing pelajar menanam minat untuk membudayakan diri dan terlibat dalam kegiatan penghasilan makanan menyahut seruan negara untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan meminimumkan import bahan makanan”.

“Usaha ini juga selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi komuniti setempat, selaras dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau bagi Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),” katanya.

Bagi menyemarakkan pembangunan sukan tempatan, UDA juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan peluang dan platform bagi atlet muda berbakat yang kurang mempunyai kemampuan kewangan.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar berkata, “Satu program sedang dirangka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri dan Yayasan Perak untuk mengenal pasti bakat dan memperkasakan pembangunan sukan boling dalam kalangan murid asnaf di sekitar Ipoh, Perak.

“Langkah ini juga merupakan tanda sokongan UDA kepada usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan di salah sebuah kompleks beli-belah milikan UDA iaitu Lite Superbowl JB9, Angsana Ipoh Mall seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat dan industri sukan,” katanya.

Beliau turut menambah, “UDA akan terus memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi program-program komuniti yang berimpak tinggi sama ada menerusi sumbangan zakat wakalah mahupun sumbangan korporat”.

“Sehingga kini, seramai 502 pelajar memerlukan sudah dibantu menerusi Program UDA Cares; Back To School 2025 yang telah diadakan di Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang, baru-baru ini,” katanya.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger