TASEK GELUGOR, 17 September 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini, hari ini.
Karnival yang berlangsung dari 16 hingga 18 September 2022 menyasarkan penyertaan hampir 200 usahawan dari pelbagai bidang seterusnya menggiatkan aktiviti keusahawanan serta sosioekonomi tempatan. Penganjuran karnival itu juga seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE di mana UDA komited memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.
YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.
“Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini merupakan antara inisiatif UDA bersama Kementerian dalam membantu mengembangkan potensi Keluarga Usahawan. Inisiatif ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan dari golongan wanita khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah. Sasaran penglibatan golongan wanita, belia serta graduan ini dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.
“Akronim ‘USHA’ bermaksud 'UDA Sempurnakan Harapan Anda’ yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival ini menjadi aspirasi UDA dalam menyediakan peluang dan platform untuk memperkasa serta memajukan usahawan dari pelbagai latar belakang,” kata beliau dalam ucapan perasmian Karinval UDA USHAniaga yang berlangsung di sini, hari ini.
YBhg. Datuk Norliza turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada 4 usahawan asnaf tempatan selepas merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Setiap usahawan asnaf menerima sumbangan zakat berjumlah RM5,000 setiap seorang. Beliau turut berkunjung ke pameran dan gerai jualan selepas menyempurnakan majlis dan serahan sumbangan tersebut.
Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia turut membawakan penyertaan KUSKOP serta agensi-agensi di bawahnya seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan banyak lagi bagi membuka peluang kepada usahawan meneroka insentif bersesuaian. Selain membuka booth pameran, agensi-agensi tersebut turut menyampaikan maklumat dan pengetahuan berkaitan keusahawanan dalam sesi perkongsian (pocket talk) yang diadakan sepanjang tiga hari karnival berlangsung.
Bagi merancakkan lagi program ini, UDA turut menjalin kerjasama dengan organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA) dan (Dewan Muda) DPMM (Dewan Perniagaan Melayu Malaysia) serta organisasi sokongan seperti Grab, Ninja dan KRU bagi menampilkan usahawan dari pelbagai cabang. Selain itu, UDA turut mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU), usahawan siswazah dan usahawan selebriti di karnival ini.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya gerai jualan usahawan, pameran dari setiap segmen perniagaan UDA yang merangkumi hartanah, hotel, premis perniagaan dan pengurusan fasiliti, ceramah dari agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), persembahan penghibur jalanan (busker), cabutan bertuah dan pertandingan karaoke.
Bagi Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Pulau Pinang, UDA menganjurkan Larian Life (Fun Run) pada 17 September 2022 iaitu program larian yang diselaraskan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Pulau Pinang. Karnival yang turut dianjurkan sempena Hari Malaysia ini turut menganjurkan sesi Tazkirah Hari Malaysia dan Selawat pada malam 16 September 2022 seterusnya menyampaikan sumbangan kepada 32 buah masjid di sekitar Tasek Gelugor.
Menerusi cabang perniagaan hartanah, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna untuk Semua Generasi’ secara serentak di UDA USHAniaga Keluarga Malaysia. Kempen hartanah tersebut adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam (6) karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. Pelbagai tawaran
istimewa turut disediakan bagi pembeli yang mendapatkan hartanah UDA sepanjang tempoh kempen.
Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia menjelajah ke seluruh Malaysia bermula Ogos hingga Oktober 2022 dan karnival pertama telah di adakan di Odeon Walk, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Ogos lalu. Jelajah seterusnya akan ke Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (8-10 Oktober), Angsana Ipoh Mall, Perak (4-6 November) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Oktober).
Kunjungi UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dan temui usahawan dari pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, termasuk jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.udamall.com.my.