August
2024

JOHOR BAHRU, 20 Ogos 2024 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti mengumumkan sambutan Jubli Emas ‘Road to Golden Years - 50 Years & Beyond’ sempena 50 tahun usia penubuhan cawangan perniagaannya di negeri Johor melalui anak syarikat UDA Land (South) Sdn Bhd dan UDA Angsana Sdn Bhd, pada tahun hadapan.

Usaha dan komitmen UDA dalam pembangunan hartanah di negeri Johor khususnya di Johor Bahru menyumbang kepada kepesatan bandar tersebut melalui pelaksanaan pelbagai projek hartanah merangkumi kediaman, komersial, menara pejabat dan kompleks beli-belah. Antara projek yang terkemuka UDA adalah pembangunan bercampur di Bandar Baru UDA, Pusat Bandar Tampoi dan Bandar UDA Utama serta pembangunan komersial di Skudai Kanan.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Menuju usia 50 tahun perniagaan UDA di negeri Johor, UDA akan terus memperkasa kelestarian menerusi pembangunan hartanah yang sesuai untuk semua generasi, termasuk golongan belum berkahwin, sudah berkeluarga, keluarga besar serta para pelabur. Usaha ini selari dengan peranan UDA dalam menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar seterusnya mewujudkan kehidupan yang sejahtera untuk komuniti setempat.

“Kini, UDA sedang menawarkan pelbagai hartanah seperti rumah teres dua tingkat (Areca Terrace), rumah berkembar dan banglo dua tingkat (UDA Heights) serta kedai pejabat dua dan tiga tingkat (21BizHub) di Bandar UDA Utama, Johor Bahru selain rumah teres satu tingkat di Taman Sedili, Kota Tinggi.

“Sempena sambutan Jubli Emas di Johor, UDA merangka pelbagai pembangunan baharu termasuk cadangan satu blok pangsapuri perkhidmatan (serviced apartment) 34 tingkat di Pusat Bandar Tampoi dan dua blok pangsapuri perkhidmatan (serviced apartment) 35 tingkat di Skudai Kanan. Selain itu, UDA sedang merangka kesinambungan pembangunan sebuah bandar lestari di Bandar UDA Utama yang meliputi rumah bandar dua tingkat, rumah teres dua tingkat, kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta pangsapuri termasuk pangsapuri kos sederhana dengan menggabungkan elemen moden, elegan dan lestari. Bandar yang dibina dengan bahan mesra alam dan sistem cekap tenaga itu juga akan mengintegrasikan kemudahan bandar dengan ketenangan, reka bentuk inovatif, ruang hijau subur dan seni bina canggih untuk gaya hidup ceria dan sejahtera,” kata beliau.

Pada 17 Julai 1975, UDA telah menubuhkan cawangan di negeri Johor dengan nama Syarikat Bandar Baru Tampoi Sdn Bhd, sebelum menukar nama kepada SBBU Sdn Bhd pada 21 Disember 1991. Pada 8 Oktober 2003, ia sekali lagi ditukar nama kepada UDA Land (South) Sdn Bhd yang kekal hingga kini. Pada Mac 2001, syarikat Jambangan Mewah Sdn Bhd ditubuhkan bagi menggantikan Bahagian Pengurusan Harta di bawah SBBU Sdn Bhd yang menguruskan AJBM (dulu Plaza Angsana) dan pada Oktober 2003, ia ditukarkan nama kepada UDA Angsana Sdn Bhd sehingga kini.

Selaku salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), UDA turut menggiatkan aktiviti keusahawan dengan membantu usahawan meluaskan akses pasaran. Di negeri Johor, UDA menerusi UDA Angsana Sdn Bhd menyediakan ruang niaga serta insentif khas kepada usahawan di kompleks beli-belah Angsana Johor Bahru Mall (AJBM) yang menawarkan ruang niaga seluas 400 ribu kaki persegi. Pusat beli-belah lima tingkat yang telah beroperasi sejak 1997 itu menarik lebih daripada 15 juta pengunjung setiap tahun.

Tambah beliau, “Selain ruang niaga yang luas, AJBM kini turut menawarkan dewan acara Laman Astana yang dilengkapi dengan kemudahan terkini dan boleh memuatkan sehingga 1,000 tetamu. Ruang acara itu sesuai untuk majlis perkahwinan, konsert, makan malam, majlis graduasi dan pameran selain turut menyediakan empat gelanggang badminton untuk rekreasi dan kawasan terbuka yang luas dan dapat memuatkan sehingga 10 khemah. Disamping itu, pelbagai aktiviti dan promosi menarik akan dirancang sempena sambutan ‘Road to Golden Years - 50 Years & Beyond’ bagi menghargai sokongan berterusan pelanggan AJBM,” kata beliau.

AJBM turut membawakan dua jenama baharu yang dibangunkan oleh UDA iaitu Kirana dan Mari Mart. Kirana menawarkan pelbagai produk kraftangan dari 13 negeri dan menterjemahkan warisan serta kepakaran tempatan selain menjadi platform untuk usahawan kraftangan meluaskan pasaran produk mereka. Mari Mart dengan tagline ‘Dari Kita Untuk Semua’ merupakan pusat runcit sehenti yang menjadi platform menyatukan pelbagai produk makanan dan minuman selari dengan hasrat UDA iaitu menyokong usaha memperkukuhkan pasaran produk usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Bagi memacu usaha mempromosikan pemilikan hartanah dan menggiatkan aktiviti keusahawanan, UDA membawakan Karnival UDA 2024 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya. Karnival yang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 70,000 pengunjung di Pulau Pinang pada bulan Julai lalu bakal meneruskan jelajahnya ke Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada September 2024, diikuti Johor Bahru pada Oktober 2024, dan menutup tirai jelajah di Kuching, Sarawak pada akhir Oktober 2024.

Sila hubungi 011-1722 6120 atau kunjungi galeri jualan UDA Land (South) Sdn Bhd di Wisma SBBU, No. 1, Jalan Padi Mahsuri 12, Bandar Baru UDA, Johor Bahru untuk maklumat lanjut berkaitan produk hartanah UDA. Kunjungi AJBM di Jalan Skudai, Pusat Bandar Tampoi, Johor Bahru untuk maklumat berkaitan lot niaga, ruang promosi, ruang acara, insentif usahawan, Kirana dan Mart Mart atau hubungi talian 011-1700 0802.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk sebarang maklumat lanjut.
 

Download
  • Messenger