June
2025

JOHOR BAHRU, 28 Jun 2025 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset mengumumkan seramai 70 pemenang hadiah cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA 2024/2025 bernilai keseluruhan sehingga RM300,000.

Sesi cabutan ini diadakan sempena penglibatan UDA di dalam Karnival Jom Heboh @ Angsana Johor Bahru Mall. Sebuah Proton S70 1.5T Executive merupakan hadiah utama yang menjadi rebutan. Antara hadiah menarik lain termasuk dua unit motosikal Modenas Elegan, tiga unit kerusi urut Ogawa, empat pakej percutian 3 hari 2 malam ke Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan Hard Rock Hotel Desaru, Johor. Selain itu, sebanyak 30 baucar Harvey Norman bernilai RM500 serta 30 baucar SSF Home bernilai RM500 turut diberikan.

Encik Johari Shukri Jamil, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Kempen ini dirangka sebagai sebahagian usaha bagi menggalakkan pemilikan hartanah yang lebih inklusif dan mampan khususnya dalam kalangan Bumiputera. Inisiatif ini juga bertujuan untuk merancakkan jualan hartanah merentasi lima wilayah pembangunan utama UDA menerusi tawaran hadiah bernilai sehingga RM300,000”.

“UDA berjaya merekodkan jualan bernilai RM250 juta dengan Johor mencatatkan sambutan memberangsangkan dan daripada jumlah tersebut, majoriti hartanah terjual bernilai di bawah RM1 juta”

Menerusi kempen tersebut, seramai 268 pembeli layak menyertai cabutan dan 55 peratus daripadanya adalah Bumiputera”.

“UDA berharap dapat terus konsisten memperkasakan pemilikan hartanah dalam kalangan komuniti Bumiputera seterusnya optimis meningkatkan lagi peratusan komuniti berkenaan dengan pelbagai inisiatif yang dirancang pada masa akan datang,” katanya.

Antara projek hartanah pilihan sepanjang kempen termasuklah projek jenis landed seperti Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Fasa 6, Sarai @ KTGR Fasa 5 dan Pelindung Heights Fasa 1B di Kuantan, serta Crescent Dew di Bertam, Taman Sena Permai di Kangar dan Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar. Selain itu, di wilayah Selatan merangkumi projek Sedili Residensi di Kota Tinggi, Area Terrace Fasa 4B dan Pisonia Ville Pakej 3 di Bandar UDA Utama.

Projek jenis strata yang turut mendapat sambutan termasuk 38 Bangsar, Pangsapuri Dedaun Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Lembah Klang, Residensi Amaanee dan Residensi Evoke di Pulau Pinang, serta Neu Pendington di Kuching, Sarawak. Selain itu, di wilayah Selatan antara yang menjadi pilihan kedai pejabat 21BizHub di Bandar UDA Utama.

Sempena penyertaan UDA di Karnival Jom Heboh @ Angsana Johor Bahru Mall yang berlangsung dari 27 hingga 29 Jun, UDA menawarkan kempen khas ‘Snap & Sign Deals’ dengan ganjaran istimewa bernilai sehingga RM100,000 kepada pembeli produk hartanah UDA, tertakluk pada terma dan syarat.

Selain sektor hartanah, UDA turut menampilkan Hub Usahawan UDA yang menghimpunkan kira-kira 30 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen UDA dalam memperkasa usahawan melalui penyediaan platform berdaya saing, sekali gus membuka peluang baharu dan meluaskan akses pasaran mereka.

Orang ramai boleh mengikuti laman web rasmi UDA di www.udaproperty.com.my atau www.angsanamallsmalaysia.com.my serta saluran media sosial UDA untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan pelbagai tawaran eksklusif yang bakal diumumkan nanti.

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger