June
2023

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) telah menamatkan proses tawaran persendirian (private placement) bagi penerbitan pertama Program Sukuk Wakalahnya dan berjaya mencatat langganan bernilai RM525 juta yang dilanggan sepenuhnya oleh pelabur tempatan. Terbitan ini adalah dalam bentuk Kertas Kerja Komersial Islam (ICP) dan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, “Kejayaan menerbitkan Program Sukuk Wakalah melebihi RM500 juta ini membuktikan keyakinan pelabur atas keupayaan UDA terus kekal relevan dan memainkan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara.”

Beliau menambah, “Pada tahun ini, nilai projek-projek pelancaran baru pembangunan UDA dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion dan kesemua hartanah tersebut dibangunkan di kawasan-kawasan strategik seluruh negara serta kawasan-kawasan yang dikenal pasti akan meningkat nilai hartanahnya di masa depan. Saya juga ingin menyarankan UDA untuk meneroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana mendapat faedah daripada penerbitan sukuk tersebut.”

Untuk tahun ini, antara lokasi pelancaran projek yang telah dikenal pasti ialah di Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, “Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membayar semula pembiayaan sedia ada, membiayai projek-projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian, pembangunan projek-projek wakaf serta modal kerja. Ia juga akan meletakkan UDA di landasan tepat untuk memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dijalankan mengikut strategi yang telah ditetapkan,”

“UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 bilion turut memegang rizab tanah seluas 1,014 ekar dengan taksiran harga pasaran RM2.6 bilion. Hasil daripada penerbitan sukuk ini dan juga perancangan strategik yang telah digariskan, UDA mampu untuk terus komited menjadi peneraju utama dalam sektor pembangunan hartanah negara,” tambah beliau.

Datuk Sr Mohd. Salem berkata, “Inisiatif ini seiring dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian. Ia juga diharap dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan nilai Malaysia Madani.”

Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Wakalah adalah RHB Investment Bank Berhad.

Download
  • Messenger