February
2023

KUCHING, 9 Februari 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melancarkan galeri jualan baharu di Sarawak yang terletak di Sarawak Plaza, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching, hari ini.

Galeri jualan UDA Land Sarawak Sdn Bhd (UDA Land Sarawak) itu dibuka bagi mengetengahkan produk hartanah yang ditawarkan seterusnya memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat produk. Antara projek yang dipamerkan adalah 'Neu Pendington' yang sedang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 12.6 ekar (5.1 hektar) di kawasan Pending, Kuching. Projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak itu dibangunkan hasil usaha sama UDA dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM496 juta.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Pembukaan galeri jualan UDA Land Sarawak yang menonjolkan pembangunan bersepadu ‘Neu Pendington’ merangkumi kedai pejabat, apartmen dan hotel ini adalah seiring dengan matlamat Kementerian bagi menyediakan fasiliti peniagaan yang kondusif di tengah bandar dan seterusnya mengembangkan potensi serta memperkasa golongan usahawan. Selain itu, pembangunan ini dapat meningkatkan urbanisasi sekali gus merancakkan ekonomi negara selari dengan konsep Malaysia Madani yang memfokuskan pada pembangunan negara yang lebih mampan dan makmur.”

Beliau turut melawat ke sekitar galeri diiringi oleh YB Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, YBhg Datu Haji Abdul Hadi bin Datuk Haji Abdul Kadir, Pengurus Besar SEDC, YBrs Encik Noor Azmi Salleh, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA dan YBrs Encik Mustafa Abdullah, Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sarawak serta barisan pengurusan kanan UDA.

YBhg Datuk Sr Mohd. Salem berkata, "UDA berbangga dapat melebarkan sayap perniagaanke negeri Sarawak selepas lima dekad mengharungi kejayaan membentuk dan memodenkan bandar-bandar di Semenanjung Malaysia seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. UDA berhasrat untuk mewarnai pembangunan bandar dan membantu menggalakkan pemilikan hartanah dalam kalangan komuniti setempat di negeri Sarawak khususnya Bumiputera. Inisiatif ini seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang memfokuskan kepada kelangsungan serta kelestarian dalam kehidupan atau sustainability."

Pembangunan bersepadu Neu Pendington itu merangkumi pembinaan 594 unit apartmen (2 blok apartmen 25 tingkat dengan 3 jenis keluasan), 262 unit kedai pejabat berstrata (3 jenis - 2, 4, & 6 tingkat) dan sebuah hotel 12 tingkat dengan 200 bilik. Projek yang terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Marican Salleh, Kuching itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027.

Bagi yang berminat untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut projek Neu Pendington, kunjungi galeri jualan UDA Land Sarawak di Lot R104-R105, Level 1, Sarawak Plaza, Jalan Tunuku Abdul Rahman, Kuching, Sarawak atau layari www.udaproperty.com.my/project/neu-pendington. Galeri tersebut adalah sementara dan galeri sebenar bakal dibina pada bulan hadapan di tapak pembangunan Neu Pendington serta dijangka siap pada bulan Disember tahun ini.

Download
  • Messenger