February
2023

KADAMAIAN, 1 Februari 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares; Back to School 2023 @ Sabah di sini, hari ini.

Sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi program yang memanfaatkan seramai 449 pelajar dari 14 buah sekolah di dua kawasan iaitu Kadamaian dan Penampang. Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam sekolah untuk persiapan bagi sesi persekolahan yang baharu.

Penerima sumbangan di Kadamaian terdiri daripada 300 pelajar dari 10 buah sekolah. Bagi program di Kadamaian hari ini, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang juga merupakan agensi KUSKOP, turut berganding bahu bersama UDA dalam menyantuni komuniti setempat dengan menghulurkan sumbangan berupa bekas bekal makanan serta botol air minuman.

Majlis penyerahan sumbangan kepada 300 pelajar di Kadamaian telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Sekolah Kebangsaan Tamu Darat.

YB Datuk Ewon berkata, “Inisiatif UDA ini mencerminkan komitmen Kementerian dan agensi dalam membantu komuniti memerlukan. Usaha seumpama ini juga harus dijadikan contoh serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik,” kata beliau.

YBrs Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Program UDA Cares; Back to School 2023 pada tahun ini memberi pendekatan baharu dengan menyantuni komuniti di Sabah. Program tahunan ini turut diadakan di Johor, Pulau Pinang dan Kedah. Penganjuran program ini adalah langkah proaktif UDA bagi menyumbang kembali kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan kembali ke sekolah pada bulan Mac akan datang.

“Usaha ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti seterusnya dalam meniupkan semangat kepada semua pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” kata beliau.

Turut hadir YBhg Datuk Nordin Murat, Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan UDA serta YBrs Puan Radziah Mohamed Fadzil, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA.

Sumbangan kepada 149 pelajar di kawasan Penampang telah disampaikan oleh YB Datuk Ewon, semalam (31 Januari 2023). Penerima sumbangan terdiri daripada pelajar dari empat (4) buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Longkogungon, Sekolah Kebangsaan Terian, Sekolah Kebangsaan Buayan dan Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon. Sempena program ini, UDA turut menambahbaik tandas di Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.

Download
  • Messenger