December
2023

IPOH, 09 Disember 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan jualan usahawan berjumlah RM2.2 juta di Karnival UDA 2023 @ Perak yang berlangsung di sini, hari ini.

Karnival yang menampilkan dua acara utama iaitu Program Usahawan USHANiaga dan Kempen Hartanah UDA Ria itu dianjurkan di Tapak Parkir, Angsana Ipoh Mall, Ipoh, Perak bermula 8 hingga 10 Disember 2023. Terdahulu, karnival telah berjaya dijalankan di tiga lokasi iaitu Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, Johor (29 September hingga 1 Oktober 2023), Tapak Parkir Gravitas, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (27 hingga 29 Oktober 2023) dan Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah (24 hingga 26 November 2023).

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad berkata, “Alhamdulillah, UDA telah berjaya mencatatkan jualan berjumlah RM7.8 juta di tiga lokasi yang telah dilaksanakan dengan penyertaan hampir 400 usahawan dari pelbagai latar belakang dan kolaborasi dengan KUSKOP serta agensi di bawah KUSKOP, agensi kerajaan negeri dan pusat, usahawan selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Melihat kepada penyertaan dan jumlah jualan yang menggalakkan, kami yakin karnival di Angsana Ipoh Mall selama tiga hari ini mampu mencapai sasaran nilai jualan RM2.2 juta dengan penyertaan 120 usahawan merangkumi usahawan makanan, aksesori, kesihatan, perkhidmatan dan lain-lain lagi, seterusnya mencapai sasaran penyertaan 500 usahawan dan sasaran nilai jualan keseluruhan RM10 juta di empat lokasi Karnival UDA 2023,” kata beliau ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 @ Perak, hari ini.

UDA memperkenalkan Program Usahawan USHANiaga bertujuan memperkasa golongan usahawan dengan menyediakan platform untuk usahawan mempromosikan perniagaan seterusnya mendorong peningkatan dalam aspek jualan serta pemasaran selain merangsang pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan.
 
Menerusi program ini juga usahawan yang membuka gerai jualan menerima subsidi sewaan tapak. Selain itu, usahawan turut berpeluang meneroka pelbagai insentif oleh UDA antaranya sewaan tapak atau ruang niaga di premis-premis di bawah seliaan UDA antaranya Angsana Ipoh Mall serta platform pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana. Gerai pameran agensi- agensi KUSKOP serta kelas bimbingan dan konsultasi usahawan ‘BizClinic’ atau BisKaunselor juga dibuka bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat.

Bagi menjayakan Karnival UDA 2023 @ Perak, UDA turut berkolaborasi dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang membawa 70 penyertaan usahawan berdaftar di bawah SteP seperti usahawan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), TEKUN Nasional, Koperasi Orang Asli Lata Kinjang dan usahawan tempatan yang lain.

Tambah beliau lagi, UDA komited menggalakkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar dengan menawarkan pelbagai produk hartanah kediaman serta komersial di seluruh negara. Kempen Hartanah UDA Ria yang juga sebahagian daripada karnival ini mencatatkan jumlah jualan keseluruhan RM30.8 juta.

“Kami berharap karnival UDA di negeri Perak Darul Ridzuan ini dapat mendekatkan lagi UDA dengan masyarakat setempat terutamanya komuniti di wilayah perniagaan UDA. Semoga ikhtiar ini dapat memberikan impak positif kepada aktiviti keusahawanan, sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan. Semoga langkah yang dirintis ini berupaya mengilmukan masyarakat dengan pengetahuan dan makluman yang lebih jelas, tepat dan lengkap mengenai produk-produk UDA,” kata beliau yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat UDA dan penghargaan istimewa kepada pelanggan setia hartanah UDA di majlis yang sama.

Antara produk hartanah yang diketengahkan di Karnival UDA 2023 @ Perak adalah Amaanee Residences dan Crescent Dew di Pulau Pinang, 38 Bangsar Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Kuala Lumpur, Dedaun Residensi di Selangor, UDA Heights, Pisonia Ville, Neuvo Centro dan Areca Terrace di Johor, Pelindung Heights di Pahang dan Sarai di Terengganu serta Neu Pendington di Sarawak.

Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts serta dua (2) hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat. Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat lanjut.
 

Download
  • Messenger